Restoran Nasi Kandar Hameediyah dapat pengiktirafan MBR

0
674

Oleh Fetty Rara

RESTORAN Hameediyah di George Town, Pulau Pinang telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ‘Restoran Nasi Kandar Paling Lama’ beroperasi – selama 114 tahun.

Restoran yang terletak di Campbell Street ini popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelawat asing dengan hidangan menggunakan resipi tersendiri sejak 1907.

Pemiliknya sekarang, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor yang merupakan generasi keenam keluarga Hameediya menerima sijil pengiktirafan daripada ketua pegawai eksekutif MBR Chrisptopher Wong pada Selasa (7 Julai).

Majlis penganugerahan sijil itu turut disaksikan pelanggan yang berbaris hingga ke jalan raya menantikan giliran untuk membeli makanan kegemaran mereka.

Restoran Hameediyah sekarang yang terletak dalam bangunan rumah kedai lama amat berbeza daripada di premis ringkas di mana asalanya seorang pedagang dari Tamil Nadu, India Mohamed Thamby Rawther memulakan perniagaan sejak awal tahun 1900 bersama anak-anaknya.

DISIPLIN berpaut kepada mutu dan adunan rempah resipi keluarga menjadikan hidangan enak di Restoran Hameediyah/Foto: Aziz A.Shariff.

Pada mulanya mereka menyewa sebuah rumah di Campbell Street untuk menjual rempah ratus sebelum menjual nasi dan kari di bawah pokok di padang yang terletak di depan rumah tersebut.

Makanan diletakkan dalam bakul besar yang ‘digandar’ (kandar) menggunakan sebatang kayu, hingga terlekat nama ikonik ‘nasi kandar.’

Lama-kelamaan setelah perniagaan mereka semakin maju, mereka menubuhkan Hameediyah Restoran di No. 164, Campbell Street yang kekal hingga ke hari ini.

Walaupun rumah kedai tersebut telah diubahsuai beberapa kali, warna kuning dan hijau ikonik bangunan masih dikekalkan.

Bagi Seeni yang telah lanjut usia, ‘rahsia’ umur panjangnya terkandung dalam adunan rempah yang digunakan dalam pelbagai resipi di Restoran Hameediyah.

Beliau berkata mereka tidak menggunakan rempah ratus komersial, tetapi sebaliknya hanya membeli rempah gred tinggi secara borong yang diadun menggunakan sukatan tepat dan dimasak berpandukan resipi turun temurun milik keluarga.

Disiplin berpegang kepada ketepatan sukatan dan resipi sering kali dipuji oleh penggemar nasi kandar Hameediyah yang dikatakan tidak pernah berubah sejak berzaman.

Hari ini Restoran Hameediyah juga terkenal dengan hidangan rendang daging dan ayam kapitan, selain hidangan baharu termasuk kari arnab, ayam belanda, dan rendang udang galah.

Selain premis asal di Campbell Street, Restoran Hameediyah juga mempunyai cawangan di Jalan Baru, Perai, Kota Damansara dan Ampang di Lembah Klang.

Sebuah lagi cawangan akan dibuka di Sungai Ara, Pulau Pinang bulan ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here