Calon PM: Mahu ikut selera siapa?

0
453

NAMPAKNYA keputusan UMNO menyokong dan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak disetujui beberapa pemimpin parti itu.

Selepas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan UMNO dan Pas berpendirian sama menyokong Muhyiddin, suara bantahan mula kedengaran walau pun para pemimpin parti yang membentuk Pakatan Nasional (PN) juga memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

Meskipun Annuar menyatakan persetujuan UMNO akan disampaikan kepada akar umbi melalui saluran parti. Namun, belum dapat dipastikan, ia sudah dilakukan atau sebaliknya. Apa yang jelas beberapa pemimpin UMNO tidak menyetujuinya.

Bagi Annuar, sokongan kepada Muhyiddin adalah berdasarkan kepada konteks semasa, dan seandainya diadakan pilihan raya mengejut diadakan dalam waktu terdekat. Jika lebih lama lagi, beliau sendiri tidak dapat meramalkan.

Setakat ini, antara mereka yang tidak setuju dengan pencalonan Muhyiddin ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Menariknya kesemua mereka adalah dari Johor, seperti juga Muhyiddin.

Khaled Nordin mahu calon PM dalam kalangan ahli parti UMNO sambil menamakan beberapa susuk tubuh yang sesuai menjawat jawatan Perdana Menteri, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaludin.

Shahrir Samad pula menekankan banyak perkara perlu diselesaikan sebelum memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas PRU-15, terutama kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri. Adakah sekadar menjadi ‘sampingan’ sahaja apabila pemimpin parti lain menjadi perdana menteri?

Sentimen Shahrir dikongsi oleh Puad Zarkashi yang mengingatkan UMNO jangan sampai tergadai kerana jawatan perdana menteri. Baginya menyerahkan jawatan kepada Muhyiddin seolah-olah menggadaikan parti dan UMNO sendiri tidak dapat apa-apa.

Mungkin beliau beranggapan UMNO lebih kuat dan ‘senior’ daripada Bersatu yang dipimpin Muhyiddin serta meramalkan bekas parti pemerintah itu mampu menang besar dalam PRU-15. Jadi kenapa serahkan jawatan perdana menteri kepada pemimpin parti lebih kecil dengan kerusi lebih sedikit.

Malah Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri percaya UMNO akan meninggalkan Bersatu dalam PRU-15 bagi membolehkan UMNO menang dalam keadaan dominan.

Dalam wawancara dengan Asia Channel Network (ACN), beliau menegaskan Bersatu tidak sepatutnya pun berada dalam perencanaan mereka untuk menghadapi PRU-15. Sebaliknya hanyalah UMNO dengan Pas dan rakan tradisi seperti MIC dan MCA.

Sememangnya sebelum ini pun ketika ramai pemimpin UMNO memperkatakan tentang PRU-15 yang mungkin diadakan lebih awal, mereka tidak pun menyebut untuk bersama Bersatu.

Bagi UMNO, kehadiran mereka dalam kerajaan PN adalah sebagai sokongan interim. Namun untuk menghadapi PRU-15 ia akan dihadapi bersama Pas sebagai rakan Permuafakatan Nasional serta parti-parti yang bergabung dalam Barisan Nasional (BN).

Tidak diketahui bagaimana berlaku perubahan yang kini menampakkan Muhyiddin dan Bersatu ada dalam radar UMNO dan BN dalam menghadapi PRU-15. Barangkali inilah juga yang menyebabkan berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO.

Belum diketahui apa pula pendirian akar umbi parti.

Dalam dua situasi antara memberi sokongan dan berbeza pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO, pada akhirnya apakah pandangan rakyat terhadap pemimpin? Tidak lain hanyalah untuk memegang kuasa, apatah lagi menjadi perdana menteri. Rakyat juga mungkin bertanya, apakah yang akan mereka dapat?

Juga mungkin berlegar dalam fikiran rakyat ialah kenapa pada ketika ini isu menyokong dan menamakan Muhyiddin sebagai perdana menteri tiba-tiba menjadi hangat?

Adakah ia bermakna PRU-15 sememangnya akan diadakan pada waktu terdekat sehingga difikirkan sekarang masa terbaik untuk menyatakan sokongan kepada pemimpin Bersatu itu?

Adakah sokongan itu penuh atau bersyarat? Adakah Ahli Parlimen Pagoh kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU-16 atau hanya untuk tempuh tertentu selepas PRU-15?

Persoalan ini semua sukar dijawab dengan tepat kerana politik itu sendiri tidak statik. Ia boleh berubah dalam masa singkat menurut kesesuaian dan cita rasa ahli politik itu sendiri. Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam politik!

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here