Oleh KHADIJAH IBRAHIM
TIDAK berusaha mencari teman hidup selepas bercerai kerana itu bukanlah sifatnya. Bagi Jaclyn Victor, 42, beliau tidak terdesak untuk mencari pengganti selepas bercerai dengan Shawn Rivera, 48.
Selepas bergelar ibu tunggal, Jaclyn atau mesra disapa Jac, berkata, kehidupannya diteruskan seperti biasa dan tiada masa untuk meratap perpisahan yang tidak dipinta itu.
Sebagai ibu kepada Jonah Joshiah Rivera,5, dan Molly Marguerite Rivera, 3, beliau harus kuat untuk memikul tanggungjawab membesarkan dua cahaya matanya itu.

Jac dan Shawn berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014 dan pada 11 Januari 2020, anggota Az Yet itu mengumumkan perceraian mereka dalam Facebooknya.
Juara Malaysian Idol yang jarang bercerita tentang kisah peribadi, bagaimanapun sewaktu ditemui pada pembukaan B.A.T.S Restaurant and Lounge di Jalan Telawi, Bangsar, 6 Julai lalu telah berkongsi berita gembira.
“Kehidupan saya selepas bercerai okey. Saya tak suka bercerita tentang perceraian kerana perkara sudah berlaku, tiada apa yang perlu dikesalkan.
“Semua orang yang berkahwin mahu rumah tangga berkekalan tapi apa boleh buat bila perancangan itu tak menjadi. Saya tak pernah menyesal dengan perceraian itu tapi kasihan pada anak-anak.
“Sekarang ini, keutamaan saya dalam kehidupan adalah anak-anak. Saya boleh buat apa saja untuk mereka. Malah saya juga tak sangka ada insan yang boleh mengambil hati anak-anak saya,” katanya sambil tersenyum.

Terus terang Jac berkata, beliau tidak terfikir akan bertemu dengan seorang lelaki lain yang boleh menerima dirinya dan anak-anak dengan seadanya.
“Sejujurnya, saya tak pernah fikir yang saya akan bertemu dengan seseorang yang boleh menerima saya dan anak-anak, tapi kini saya telah bertemu orang itu. Saya gembira kerana telah bertemu dia yang dapat terima keadaan saya.

“Dia bukan dalam industri seni tapi saya gembira kerana dia betul-betul jaga anak-anak saya dan mereka panggil dia papa. Sebelum bertemu dia, saya fikir tak akan ada orang yang boleh layan anak saya sebaik itu,” kata Jac tentang teman baharunya yang juga seorang duda itu.
Setakat ini, Jac enggan mendedahkan siapakah lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu. Bila sudah tiba masanya, barulah beliau akan memperkenalkan lelaki tersebut kepada umum.
– BebasNews
Khadijah Ibrahim Penganalisis BebasNews. Beliau wartawan hiburan prolifik yang pernah menulis untuk Utusan Malaysia, Pancaindera, dan Mingguan Malaysia.