Lemur Madagascar diancam kepupusan serius

0
343

BIMBANG… Hampir kesemua spesies lemur, haiwan primat asli di Madagascar, sebuah pulau besar Lautan Hindi di timur benua Afrika, kini berdepan dengan ancaman kepupusan teruk.

Amaran serius itu dikeluarkan badan pemuliharaan global, Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN), sekali gus ia menambah senarai haiwan dan tumbuhan terancam.

Ia melaporkan bahawa terdapat 107 spesies lemur di pulau bekas jajahan Perancis itu, namun kira-kira 103 daripadanya adalah terancam, termasuk 33 yang dianggap sebagai amat terancam.

Senarai diterbitkan pihak IUCN itu pada mulanya hanya menilai 120,372 spesies sebelum cuba mengelaskan kepada hanya lebih 30,000 spesies yang memang berisiko berdepan kepupusan.

Panel biodiversiti Pertubuhan Bangsa Bersatu (IPBES) pada tahun lalu pernah mengeluarkan amaran sehingga satu juta spesies hadapi risiko kepupusan akibat sikap tamak manusia sendiri.

Lemur, yang disifakan sebagai ‘harta’ Madagascar, adalah antara spesies berharga cukup unik pulau di Lautan Hindi itu hatta dijadikan antara watak dalam sekuel filem animasi Madagascar.

Mamalia comel bersaiz kecil dengan berat paling besar pun cuma 10 kilogram itu dipercayai sudah lama mendiami pulau berkenaan lebih 2,000 tahun lepas sebelum kedatangan manusia.

Bagaimanapun antara lemur yang disenaraikan sebagai amat terancam ialah Lemur Madame Berthe, primat terkecil di dunia, dan Verreaux’s Sifaka, sebahagian keluarga ‘lemur melompat.’

Kedua-dua spesies ini telah melihat ‘kemerosotan besar’ yang disebabkan habitat mereka sudah dimusnahkan manusia akibat aktiviti pertanian berasaskan tebang-dan-bakar serta pembalakan.

“Jika anda musnahkan atau ubah suai situasi habitat hutan limur, mereka tidak boleh hidup,” kata Russ Mittermeier daripada Kumpulan Pakar Primat Suruhanjaya Kehidupan Spesies IUCN.

Dianggarkan lebih 40 peratus daripada hutan hujan tropika asal di Madagascar yang wujud sejak 135 juta tahun itu sudah pun habis ditebang antara dekad 1950-an hingga tahun 2000-an lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here