Liga M boleh disambung semula 15 Ogos

0
431

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

CADANGAN asalnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyambung semula Liga Super dan Perdana ialah 1 September tetapi kini berjaya diawalkan ke 15 Ogos ini.

Berita gembira terutamanya buat Liga Malaysia 2020 apabila Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam meluluskan aktiviti sukan dan rekreasi yang bersentuhan badan dan penganjuran pertandingan atau kejohanan tempatan tanpa penonton.

Liga M tertangguh sejak 16 Mac lalu gara-gara penularan pandemik maut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah FAM dan MFL sejak Mei lalu, telah membatalkan Piala FA, Piala Pencabar, Piala Presiden dan Piala Belia serta Liga Perdana Futsal Malaysia musim ini.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) pendahulu Liga Super 2020 ketika ditangguhkan 16 Mac lalu. – Foto MFL

Pembukaan sektor sukan dan rekreasi Fasa 3 dan 4 yang diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam turut membenarkan aktiviti sukan bersentuhan selain bola sepak seperti ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy dan sukan tempur (karate, silat, taekwondo dan sebagainya) dijalankan mulai 15 Julai ini.

Penganjuran sukan tanpa bersentuhan seperti permotoran dan individu yang bermula 15 Julai ini termasuk perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang dan litar-litar tempatan lain, kejohanan badminton perseorangan, kejohanan catur dan sebagainya.

Sukan bersentuhan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy dibenarkan bermula 15 Ogos ini contohnya Liga Super dan Perdana, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Ragbi Malaysia (MRL) serta lain-lain.

REEZAL Merican Naina Merican (kiri) dan Datuk Hamidin Mohd. Amin, Presiden FAM dan MFL. – Foto FAM

Serentak dengan itu kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam siaran media, semua pengusaha padang komersial, pengendali gelanggang futsal, kemudahan sukan dan akademi dibenarkan beroperasi semula mulai 15 Julai ini.

Walau bagaimanapun kebenaran penganjuran kejohanan dan pertandingan itu tegasnya, hanya terhad kepada yang berstatus tempatan atau kebangsaan sahaja malah dilangsungkan tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan besar-besaran peserta.

“Penganjuran acara atau kejohanan antarabangsa yang melibatkan peserta dari luar negara masih tidak dibenarkan buat masa ini.

“Tarikh kuat kuasa kebenaran penganjuran, 15 Ogos iaitu lebih sebulan dari sekarang, bertujuan memberikan sedikit masa kepada pihak penganjur seperti MFL dan lain-lain membuat perancangan dan persiapan rapi bagi latihan yang atlet dan peserta, penyusunan logistik, persediaan premis dan venue serta pematuhan SOP,” katanya.

Jelas Reezal, pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan juga perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan mematuhi tatacara pelaksanaan piawai (SOP) Am Pengurusan, SOP Am Prapenganjuran dan SOP Am Penganjuran.

Katanya, terdapat 12 perkara penting SOP Am Individu yang perlu dipatuhi setiap atlet, dan peserta aktiviti sukan dan rekreasi dan 21 perkara penting SOP Am Pengurusan bagi setiap pengusaha dan operator premis dan venue.

“Terdapat juga sembilan SOP Am Prapenganjuran yang amat penting dan 11 SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi pihak penganjur atau pengurus acara sebelum dan ketika kejohanan atau pertandingan antaranya:

(i) setiap peserta/pemain yang masuk perlu mendaftar aplikasi MySejahtera;
(ii) disaring suhu badan dan gejala sakit;
(iii) kawalan bilangan petugas dan pengguna minimum dan mengikut sesi dan keluasan premis;
(iv) peralatan perlu dibersih/dinyahkuman selepas setiap penggunaan;
(v) menggalakkan pengguna membuat tempahan/pengesahan slot atas talian atau melalui telefon sebelum hadir ke premis/venue.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here