1 kematian, 8 kes baru Covid-19 dicatat hari ini

0
742

TERDAPAT pertambahan 1 kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 122 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat 8 kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 4 daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Kes kematian ke-122 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan kemudiannya pergi ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai.

“Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif Covid-19 dan kemudiannya disahkan positif virus itu. Kesihatan beliau terus merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Pesakit disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 jam 5.49 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, 4 kes import hari ini kesemuanya membabitkan warganegara Malaysia, manakala 4 kes tempatan pula membabitkan 2 rakyat tempatan dan 2 bukan warganegara.

“Bagi kes melibatkan warganegara, ia berlaku di Sarawak, iaitu kes Severe Acute Respiratory (SARI) yang dimasukkan ke hospital umum Sarawak.

“Kes ini juga merupakan kes kematian ke-122. Satu lagi kes adalah di Sabah, membabitkan kes saringan yang dirujuk ke hospital.

“Bagi kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara, ia berlaku di Selangor, iaitu 2 kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang.

“Kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan, sehingga kini terdapat 3 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah keseluruhan kes aktif adalah sebanyak 67 kes.

Sementara itu, 4 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dibenarkan keluar wad seramai 8,515 orang, bersamaan 97.8% daripada kes keseluruhan.

https://bit.ly/38Q2kCW

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here