Peniaga warga asing di Shah Alam kebal?

0
3612

Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM – Soalnya sampai bila warga asing menguasai perniagaan yang sepatutnya mampu dilakukan oleh rakyat tempatan.

Sebelum ini Kampung Jawa, Bandar Sultan Sulaiman dan sekitar Bandar Klang pihak NGO meninjau kegiatan perniagaan warga asing dalam kalangan warga Nepal, Indonesia dan Myanmar yang semakin menggila berniaga kedai runcit, kedai telefon dan sampai tahap membuka kedai arak.

Menurut Aktivis NGO Pertubuhan Intergrasi Nasional (PIN), Mohd.Azhar Osman, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) wajib bertegas sebelum pasar basah yang terletak di Plaza Seri Muda di Seksyen 25 di sini dikuasai warga asing dari Bangladesh pula.

“Sebelum ini kita sudah membongkar kegiatan peniaga warga asing yang menggunakan lesen warga tempatan di Klang. Hari ini kita lihat keadaan yang sama berlaku di Plaza Seri Muda yang boleh dikatakan 99 peratus dikuasai warga asing.

Lot niaga ditinggalkan peniaga warga asing setelah menyedari kehadiran pihak NGO.

“Saya berasa hairan bagaimana lot niaga yang disita dan diletakkan lilitan milik MBSA masih boleh beroperasi. Mereka benar-benar tidak menghormati pihak berkuasa,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bersama NGO seperti Persatuan Anak Pantai Timur (Peranti), 99 Pertubuhan Kebajikan Insan 99 Selangor (Kesan) dan Persatuan Kebajikan Hindu Dan Sosial Selangor membuat tinjauan di sekitar Plaza Seri Muda di sini.

Mohd.Azhar berkata, jika peniaga tersebut tidak bersalah menggunakan lesen warga tempatan, mengapa mereka lari meninggalkan lot perniagaan mereka bersama ikan dan sayur milik mereka.

Katanya lagi, Datuk Bandar Shah Alam harus segera mengambil tindakan kepada pihak yang mengalibabakan lesen mereka hingga menyebabkan warga tempatan yang ingin mencari rezeki pasca Perintah Kawalan Pergerakan tidak mempunyai tapak.

Sementara itu Pengerusi NGO 99 Kesan, Muhd.Ali Zakariah berkata, kegiatan peniaga warga asing tersebut telah lama berlangsung namun tindakan tegas yang diambil seakan tidak memberi kesan kepada mereka.

Kawasan lot niaga yang telah disita masih beroperasi seolah pihak peniaga kebal dari tindakan undang-undang.

“Peniaga tempatan di sini seakan menjadi golongan minoriti sedangkan mereka rakyat tempatan. Majoriti adalah warga asing yang berniaga tanpa rasa takut dan bimbang dengan tindakan undang-undang.

“Tetapi hari ini ramai yang cabut lari. Lebih mengejutkan boleh pula pemilik lesen datang kemudian seolah-olah dia yang berniaga,”katanya.

Muhd.Ali berkata, beliau dan beberapa NGO pernah membuat tinjauan yang sama tiga tahun lalu dan amat mengejutkan tiada perubahan yang berlaku yang mana warga asing masih bertapak di pasar tersebut.

Beliau menambah, pihak Exco Selangor perlu membuktikan bahawa mereka serius dalam menguatkuasa undang-undang yang melarang warga asing berniaga di negeri ini.

Tinjauan Bebas News mendapati, selepas pihak NGO membuat rondaan di tapak pasar tersebut barulah kelibat beberapa penguatkuasa MBSA dilihat hadir di pasar tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here