Oleh Luqman Haziq
JOHOR BAHRU – Johor bukan hanya ingin menyediakan venue dan infrastruktur yang lengkap, malah bertekad menjadi penganjur Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang terbaik.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sudah bersedia menganjurkan temasya dwitahunan yang dijadualkan berlangsung pada April 2021.
Sukan tersebut sepatutnya diadakan pada bulan ini, namun terpaksa ditunda ekoran pandemik COVID-19.
Hasni berkata, pembinaan kesemua venue bagi acara sukan yang akan dipertandingkan nanti dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
“Kita dapat lihat pada hari ini, kita sudah hampir 97 peratus siap dari segi kemudahan untuk semua acara termasuk di peringkat daerah yang akan menganjurkan acara-acara yang selebihnya.
“Baki tiga peratus lagi sebelum akhir tahun ini kita jangka siap. Kelewatan ini kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19 ini,” katanya selepas melawat dan meninjau kemajuan pembinaan beberapa venue Sukma 2020, di sini hari ini.
Antara venue yang dilawati ialah Kompleks Sukan Educity, Velodrom Johor dan Stadium Olahraga, Ragbi dan Menembak di Mount Austin.
Kesemua projek pembinaan venue itu menelan kos RM468 juta membabitkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan menerusi kaedah penswastaan.
Turut mengiring beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji A. Rahim Nin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman dan barisan Exco kerajaan negeri.
– BebasNews
Luqman Haziq Abdullah..memulakan kerjaya sebagai Wartawan Eksekutif di Bernama pada tahun 1997 dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan. Menyertai Utusan Malaysia sebagai Penolong Pengarang Berita dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia Johor