Pelabur asing jual RM16.9 bilion bersih ekuiti tempatan setakat ini bagi 2020

0
760

KUALA LUMPUR — Pelabur asing menjual RM16.9 bilion bersih ekuiti di Bursa Malaysia, setakat ini bagi 2020, menurut penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan enam pasaran Asia yang lain, Malaysia masih mencatatkan aliran keluar bersih dana asing keempat terkecil dalam tempoh tersebut.

Bank pelaburan itu berkata pelabur luar pesisir menjual RM270 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas — menjadikannya minggu ke-21 penjualan bersih asing berturut-turut — berbanding dengan RM339.4 juta pada minggu sebelumnya.

“Dari segi penyertaan, kumpulan runcit dan institusi mencatatkan kenaikan mingguan dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak 37.6 peratus dan 34.2 peratus.

“Pelabur asing juga merekodkan kenaikan mingguan ADTV iaitu sebanyak 29.1 peratus kepada RM1.3 bilion, yang berada di atas paras baik pada RM1 bilion,” katanya.

Secara keseluruhan, FBM KLCI meningkat 2.5 peratus bagi minggu lepas untuk ditutup pada 1,591.84, sementara ringgit meningkat 0.5 peratus berbanding dolar AS untuk mencecah RM4.26.

Pasaran ekuiti utama di seluruh dunia terus berada dalam lingkungan positif minggu lepas disokong oleh prospek pemulihan ekonomi berikutan pelonggaran sekatan akibat pandemik COVID-19.

“Namun, aliran dana asing dalam pasaran yang kami teliti menunjukkan kenaikan didahului domestik,” menurut MIDF.

Sementara itu, Brent, yang menjadi penanda aras minyak mentah, naik satu peratus kepada US$43.24 setong pada Jumaat lepas, didorong oleh prospek vaksin COVID-19 dan rawatan oleh Gilead dan Moderna serta tuntutan pengangguran awal di Amerika Syarikat juga berkurangan.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here