Usul Speaker: Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan selesa, ranjau di hadapan lebih mencabar

0
967

Oleh Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed

1. KEMENANGAN pihak kerajaan 111-109 ke atas usul untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat haruslah dilihat dengan penuh berhati-hati dan “bukan selesa”.

2. Banyak perkara yang perlu diperhatikan bagi memastikan mandatnya cukup utuh dan tidak rapuh. Apa yang berlaku hari ini menunjukkan kerajaan yang ada ini belum lagi stabil. Undi 111 yang diterima oleh pihak kerajaan itu amat menakutkan. Marginnya cukup halus.

3. Rakyat melihat perkembangan ini dengan penuh bimbang. Saya selaku mantan Ahli Parlimen melihatnya dengan penuh berhati-hati.

4. Rakyat seboleh mungkin mahu supaya satu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin bagi membolehkan mandat yang baharu dapat diberikan.

5. Saya yakin berdasarkan situasi semasa yang berlaku — termasuk prestasi “kurang pengalaman” kerajaan PH, sikap gopoh DAP dalam tempoh 22 bulan memerintah — rakyat khususnya orang Melayu-Islam akan memulangkan semula mandat kepada kerajaan semasa ini.

6. Peralihan kuasa yang berlaku kepada kerajaan PN ini dilihat sebagai satu peralihan teknikal dan taktikal, yang perlu diperbetulkan melalui satu pilihan raya. Ia harus dilakukan secepat mungkin.

Ambillah contoh bagaimana kerajaan Singapura mendapatkan mandat rakyat dalam menangani kemelut ekonomi dan Covid-19 di republik itu melalui satu pilihan raya umum baru-baru ini.

7. Berdasarkan apa yang berlaku dalam Parlimen hari ini, pihak kerajaan tidak boleh mengambil mudah (take for granted) bahawa “semuanya sudah diatur” dan “segalanya beres” kerana dalam politik segala-galanya boleh berlaku.

8. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, walaupun kononnya satu kesepakatan telah dicapai di luar Dewan bahawa “beliau akan berkecuali” dalam hal undian itu, tetapi beliaulah yang paling lantang.

9. Sebagai bekas Ahli Parlimen, saya sudah melalui semua senario ini, dan terus terang saya katakan bahawa situasi yang berlaku pada hari pertama sidang Parlimen ini bukanlah mudah untuk ditangani.

Saya tekankan lagi, dengan margin yang kecil dan pihak pembangkang yang “bukan mudah dijinakkan”, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mendapatkan segera mandat rakyat. Jika tidak saya bimbang, bolehkah kerajaan ini bertahan?

10. Apapun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang berjaya dalam ujian pertama ini, namun janganlah selesa kerana ada lagi ranjau yang lebih mencabar di hadapan, termasuk untuk meluluskan Bajet 2021.

Terima kasih.

— BebasNews

*Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamad ialah mantan Ahli Parlimen Sepang dan mantan Menteri Kerjaraya.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here