Baru kena ‘jentik’, UMNO sudah kepanasan

2
15865

Oleh Ahmad Abd Hamid

MARAH betul puak UMNO apabila Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad mengeluarkan kenyataan UMNO sudah lemah dan tidak laku di Sabah. Menurutnya, ramai ahli parti itu menyertai Bersatu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu sendiri sebelumnya adalah ahli UMNO yang memenangi kerusi Parlimen Mersing atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau kemudian melompat masuk ke dalam Bersatu bersama-sama lima wakil rakyat UMNO lain pada Februari 2019.

Tetapi, apabila Dr Latiff ‘menjentik’ UMNO, dan UMNO Sabah khususnya, pemimpin UMNO nampak tidak boleh menerima apa yang dikatakan oleh bekas rakan separti mereka itu, walau pun Dr. Latiff sudah meminta maaf dan menyatakan kenyataannya telah disalah tafsir.

Dr. Latiff sebenarnya tidak perlu minta maaf pun. Beliau seharusnya berani mempertahankan apa yang diucapkan jika merasakan apa yang diperkatakan adalah benar.

Yang pasti, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melenting. Katanya, tidak kira sudah minta maaf atau tersalah tafsir, UMNO mahu bertanding di kerusi Mersing kerana itu memang kerusi tradisi mereka.

Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak juga tumpang berang. Beliau berkongsi nada dengan Zahid yang mahu mengambil balik kerusi Mersing untuk UMNO pada PRU-15.

Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki pula mahu Dr. Latiff meletak jawatan ekoran kenyataan yang beliau buat. Minta maaf sahaja tidak cukup.
Kenapa pemimpin UMNO harus marah apabila mendengar kenyataan Dr. Latiff? Mungkin kenyataan itu hanya sekadar pandangan peribadi daripada seorang yang pernah bersama dalam bahtera UMNO.

Perlukah kenyataan Dr. Latiff itu diberi reaksi sedemikian? Sikap ini seolah-olah memberi gambaran memang benar UMNO Sabah sudah lemah dan kenyataan Dr. Latiff dianggap satu pendedahan yang tidak boleh diterima.

Jika UMNO beranggapan kenyataan Dr. Latiff tidak benar, buktikan sahaja UMNO di Sabah dalam keadaan kuat. Beri jawapan yang meyakinkan terhadap kenyataan tersebut, bukan terus panas punggung dan melompat. Mungkin hanya Dr. Latiff yang berandaian sedemikian.

Juga wajar diingat walau pun Dr. Latiff pernah menjadi orang UMNO, dia kini dalam bahtera Bersatu. Perbezaan pendapat dan pandangan mesti ada walau pun kini sama-sama dalam kapal Pakatan Nasional (PN).

UMNO jangan cepat melenting apabila dikritik. Sebabnya, UMNO pun biasa juga mengkritik parti lain. Jika boleh mengkritik, maka haruslah pula bersedia menerima kritikan. Anggap ini asam garam politik.

Namun satu kesimpulan nyata pada masa ini, ketika UMNO masih marah, ialah parti itu tetap akan bertanding di kerusi Mersing pada PRU-15. UMNO mahu kerusi yang dimenanginya pada PRU-14 diberikan semula untuk ditandingi.

Ertinya tiada laluan untuk Bersatu walau pun Dr. Latiff kini adalah wakil rakyat Bersatu yang mewakili kawasan tersebut. Matlamat UMNO ialah bertanding di Mersing tanpa mengambil kira Dr. Latiff atau siapa juga bertanding di situ.

Ini bagaikan satu pertanda awal UMNO mengidam kembali kerusi-kerusi yang dimenangi oleh calon parti itu pada PRU-14 tetapi kemudian melompat ke parti lain.

Ini belum pun PRU-15 diadakan yang entah bila tetapi perkiraan kerusi sudah bermula. Parti itu juga membayangkan mahu bertanding di kawasan-kawasan tradisi yang pernah ditandinginya, termasuk di kawasan yang ia tewas.

Pas pun dijangka bertanding di kawasan tradisi. Atas dasar Permuafakatan Nasional (PN) mungkin UMNO atau BN tidak akan menghadapi masalah besar dalam pembahagian kerusi dengan Pas.

Tetapi bagaimana dengan nasib Bersatu, rakan dalam PN sekarang? Jika UMNO mahukan kembali kawasan tradisi yang ditandingi dan dimenangi oleh Bersatu pada PRU-14, ke mana Bersatu hendak pergi? Adakah ia bakal berentap dengan UMNO pada PRU-15?
Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan walau pun UMNO dan Pas berpendirian menyokong dan menamakan Tan Sri Muhyuddin Yassin sebagai perdana menteri pasca PRU-15, sesuatu yang tidak disetujui oleh beberapa pemimpin UMNO.

Pada mereka, kerjasama dengan Bersatu dalam PN adalah setakat pada ketika ini. Tiada jaminan kerjasama akan berterusan menjelang atau melampaui PRU-15.

Malah ini sudah ditegaskan oleh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang jelas menyatakan Bersatu sepatutnya tiada dalam gambaran menghadapi PRU-15. Fokusnya hanya dengan Pas dalam Permuafakatan Nasional, serta parti yang menyokong BN.

Cuma dalam kenyataan terbaharu Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, ada menyebut BN dan Pas bakal mengadakan rundingan mengenai pengagihan kerusi pada PRU-15, yang juga turut melibatkan Bersatu.

Jadi apakah sebenarnya senario menjelang PRU-15, terutama bagi Bersatu? Adakah ia bakal bersama BN dan Pas atau bersendirian? Sukar diramal kerana dalam politik apa juga kemungkinan boleh berlaku.

BebasNews
Please follow and like us:

2 COMMENTS

  1. PPBM jangan angkuh dan berlagak dengan Umno dan MN. Berapa kerusi yang ia ada? Berapa ramai ahli dan penyokongnya?

    Di PRU15, MN akan menghadapi semua musuh. PPBM kena bersaing sama dan boleh bertanding di semua kawasan yang diinginkannya. Selepas keputusan PRZu15, semua parti boleh duduk berbincang semula. Parti yang dominan akan mengetuai kerajaan.

  2. Apakah komen seorang pengkhianat kpd Parti yg banyak berjasa dan memberi kesenangan, pangkat dan jawatan selama lebih 3 penggal. Apa perjuangan UMNO yg sekian lama utk membaiki nasib untung kaum Melayu yg miskin disebabkan diskriminasi kaum penjajah Inggeris sebelum merdeka. Tangisan dan titisan darah kaum melayu harga yg perlu dibayar utk capai kemerdekaan wajar dipandang ringan oleh generasi muda kini..Kalau ya..suatu hari Malaysia atau Tanah Melayu akan jadi seperti Bumi Palestin, Penduduk asal akan jadi bangsa merempat seperti terjadi di Singapura .Renung2.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here