Arul dilantik bantu Oltmans, KHM sasar emas wanita Sukan Asia 2026

0
386
A. Arul Selvaraj (belakang, empat dari kanan) mengemudi UniKL membolot trebel Sumbangsih, Liga Perdana dan Piala TNB Liga Hoki Malaysia 2020, Februari lalu. - Foto KHM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

A .ARUL SELVARAJ telah dilantik sebagai ketua penolong jurulatih skuad lelaki senior negara manakala jawatan Pengarah Teknikal Projek Khas Sukan Asia 2026 diwujudkan, merupakan antara langkah perubahan drastik barisan kejurulatihan yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 14 Julai.

Jurulatih kelab UniKL juara trebel Liga Hoki Malaysia 2020 itu bakal bergandingan dengan ketua jurulatih, Roelant Oltmans tetapi rankingnya dianggap di atas dua penolong sekarang, Muhammad Amin Rahim dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Jawatan Pengarah Teknikal ke temasya ke-20 di Nagoya, Jepun pula bertujuan memantau dan menyelia ketua jurulatih skuad remaja lelaki dan wanita selain bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM dalam melaksanakan Program Pembangunan Hoki Negara (PPHN).

“Arul akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 15 Ogos ini manakala Pengarah Teknikal Sukan Asia 2026, 1 September ini,” kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media di pejabat konfederasi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Katanya, Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Prof. Datuk S. Shamala dan Pengarah Teknikal ini akan turut memastikan semua program pembangunan peringkat akar umbi mencapai matlamat melahirkan bakat-bakat baharu pemain kebangsaan.

KHM juga katanya, memutuskan penggabungan skuad senior dan remaja wanita negara di bawah Projek Khas Sukan Asia 2025 dengan pecahan umur pemain-pemainnya ialah 80 peratus daripada kalangan yang berusia 21 tahun dan 20 peratus lagi, 21 tahun ke atas.
Penyandang jawatan ketua jurulatih skuad ini pula hanya akan diputuskan dalam satu proses temu duga akhir, beberapa hari lagi di antara empat calon yang telah disenarai pendek daripada kalangan dua anak tempatan dan dua warga asing.

Sesi temu duga ini akan dikendalikan Subahan dan dua Timbalan Presiden KHM, ahli Jawatankuasa Kejurulatihan; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Ketua Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Zainal Abas serta dari Akademi Kejurulatihan Kebangsaan.

“Calon-calon yang disenarai pendek ini diberi tiga minggu untuk menyediakan pembentangan rangka kerja mereka dalam misi meraih pingat emas hoki wanita dalam Sukan Asia 2026 yang ditetapkan KHM

“Kami tidak mahu tergesa-gesa menamakan penyandangnya lagi memandangkan tugas dan tanggungjawabnya sangat besar dalam membimbing skuad wanita negara bagi tempoh enam tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu kata Subahan, kedudukan Oltmans sebagai ketua jurulatih negara kekal sehingga kontraknya berakhir pada Disember ini dengan misi skuad negara berikutnya ialah Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, sebulan sebelumnya.

“Bila sampai masanya nanti, barulah kami akan putuskan,” katanya.

Kewibawaan warga Belanda berusia 66 tahun ini yang menyandangnya pada Oktober 2018, kerap dipersoalkan sejak kegagalan skuad negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 setelah ditewaskan Great Britain 9-3 secara agregat di London, November lalu.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here