Main layang-layang di Mesir boleh didenda

0
241
FOTO: Anadolou.

KAHERAH – Polis Mesir dilapor mula bertindak tegas rampas layang-layang daripada penduduk tempatan yang menerbangkannya sejak minggu lalu, menurut pelbagai media tempatan di sini.

Ia susulan perintah pengharaman oleh pejabat gabenor wilayah utara atas sebab keselamatan dan amaran penggubal undang-undang bahawa ia boleh cetus ancaman keselamatan negara.

Pihak polis menyita 369 buah layang-layang di sekitar ibu kota Mesir pada Jumaat lalu, lapor akhbar Al-Ahram, manakala Al-Youm berkata 99 buah layang-layang dirampas di Iskandariah.

Malah pihak polis turut denda seramai lima orang di bandar pelabuhan pinggir Laut Mediterranen yang juga popular dirujuk sebagai Alexandria itu sehingga cecah 1,000 pound (kira-kira RM267).

Langkah itu diperkenalkan demi memastikan keselamatan rakyat dijamin ekoran beberapa siri kemalangan babit layang-layang, kata Gabenor Iskandariah di laman sosial Facebook rasminya.

Usaha pengharaman yang agak pelik itu dibuat kerana panorama langit di Mesir penuh dengan ribuan layang-layang kertas berwarna-warni yang diterbangkan oleh belia dari bumbung rumah.

Hobi masa lapang tersebut bermula ketika pihak berkuasa lancar perintah berkurung sepanjang waktu malam untuk kekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negara rantau Afrika Utara itu.

Seorang ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Pertahanan Negara, Khaled Abu Taleb bulan lalu mahu Perdana Menteri, Moustafa Madbouly diberi taklimat mengenai isu bahaya layang-layang.

Permainan tersebut didakwa boleh menimbulkan ‘ancaman keselamatan negara’ kerana ada layang-layang mungkin dipasang dengan kamera pengawasan mini seumpama pesawat dron.

Namun, langkah kerajaan itu dikritik pelbagai pihak dan turut jadi bahan jenaka netizen tempatan sebab dianggap bukan keutamaan patut diberi perhatian berbanding masalah ekonomi rakyat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here