Haris Halim harap Kekasih Baru bawa tuah

0
648
Haris beruntung mendapat lagu ciptaan Sirkhan Danial.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PERTAMA kali dengar lagu Kekasih Baru, saya sudah suka walaupun belum mengenali siapa penyanyinya. Pada 10 Julai lalu, saya dipertemukan dengan penyanyi yang mendendangkan lagu tersebut iaitu Haris Halim.

Orangnya baru mencecah usia 23 tahun pada 12 Jun lalu dan tidak pernah muncul dalam mana-mana program realiti anjuran stesen televisyen tempatan.

Tatkala ditanya bagaimana beliau mendapat peluang untuk merakam lagu? Jelas Haris, semuanya bermula apabila beliau dipertemukan dengan komposer Sirkhan Danial.

“Abang kawan saya adalah kawan kepada Sirkhan. Dia nampak bakat saya lalu memperkenalkan saya dengan Sirkhan. Pencipta lagu Di Matamu, dendangan Sufian Suhaimi dan Tergantung Sepi (Haqiem Rusli), dia minta saya datang ke rumahnya untuk uji bakat.

Haris Halim mempertaruhkan single Kekasih Baru sebagai langkah awalnya dalam bidang seni suara.

“Saya berdebar sebab waktu itu ada Sufian juga, tapi saya kuatkan semangat. Selepas saya nyanyi, Sirkhan kata, dia boleh letak saya di bawah label yang sudah terkenal tapi dia takut saya diabaikan kerana di sana sudah ada artis besar.

“Dia kata bakat saya ni besar dan kalau boleh dia nak letak saya di bawah naungannya, White Room Music, untuk memudahkan dia urus perjalanan seni saya,” cerita Haris tentang pertemuan awalnya dengan Sirkhan.

Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, rakaman vokal lagu Kekasih Baru dibuat pada awal Mac 2020. Mengikut perancangan awal, lagu ciptaan Sirkhan dan lirik ditulis bersama Sang Hitam, sepatutnya diterbitkan Oktober 2019.

Namun disebabkan ketika itu Sirkhan sibuk dengan Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana lagu ciptaannya, Lembah Kesepian, dendangan Haqiem Rusli berjaya ke AJL, jadual rakaman tertangguh.

“Sebenarnya rakaman muzik dan melodi dah siap, cuma vokal saja belum masuk. Itu yang saya buat rakaman awal Mac lalu dan lagu ini dimuat naik dalam YouTube pada 3 April lalu.
“Kalau ikutkan berisiko juga melancarkan lagu masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab saya adalah orang baharu. Bila fikir balik, masa PKP ramai yang suka main media sosial, jadi kami berserah pada Allah dan alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan,” katanya tersenyum kerana radio Era dan Suria FM telahpun memutarkan lagu Kekasih Baru.

Lagu Kekasih Baru dendangan Haris Halim mudah menangkap pendengaran orang ramai biarpun pertama kali mendengar.

Lagu berentak pop balada jaz itu sejak dimuatnaik dalam YouTube sehingga kini mendapat tonton kira-kira 77,000. Bagi seorang bakat baharu, jumlah tontonan sebanyak itu adalah cukup baik.

Jelas Haris, pertama kali dengar lagunya dari corong radio, beliau rasa teruja kerana itu adalah pengalaman baharu.

“Kali pertama dengar kat radio Era, lepas inteviu saya, penyampai terus putarkan lagu Kekasih Baru. Perasaan ketika itu rasa lain dan bulu roma saya naik. Saya tak pernah lagi dengar suara sendiri dekat corong radio.

“Saya dengar dalam kereta, rasa bersyukur dan bangga sebab impian saya tercapai. Terima kasih pada mereka yang berada di belakang saya, tanpa dorongan dan sokongan mereka, impian saya tak akan menjadi kenyataan,” ujarnya terharu.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya itu memberitahu, video muzik rasmi, Kekasih Baru akan dikeluarkan dalam waktu terdekat ini.

Haris yang boleh bermain dram, gitar, keyboard dan ukulele berharap dalam waktu terdekat ini, beliau dapat bertemu secara langsung dengan peminat-peminat yang hanya dikenali menerusi media sosial saja.

“Alhamdulillah, bila video lirik lagu Kekasih Baru dimuat naik dalam YouTube, saya mendapat banyak komen positif berbanding negatif. Pertama kali tengok komen negatif, saya dah bersedia. Biasanya orang yang baharu menapak dalam bidang seni, mesti ada yang benci.

“Bila baca komen positif, saya gembira sebab lagu ini dan suara saya serta idea komposer dapat diterima oleh orang ramai. Lagu itu memang dicipta khas untuk saya. Cara Sirkhan, dia  belajar suara orang itu dan cipta lagu ikut personaliti orang tersebut.

“Saya beruntung dan bersyukur sebab dapat lagu daripada komposer popular. Awal-awal dulu, bila bagi kawan-kawan dengar, mereka kata melodi senang tangkap,” katanya tersenyum.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here