Isteri mangsa letupan Rapid Pengerang tertunggu-tunggu bayaran pampasan

    0
    8256

    Oleh Amran Mulup

    MELAKA —  Nor Siti Fazilah Ismail melahirkan rasa kecewa apabila pihak Pengerang Refining Company (Prefchem) masih belum menyelesaikan isu  wang pampasan berikutan kematian suaminya Allahyarham Norfazly Mad Nor dalam satu kejadian letupan Diesel Hydro Treater Unit di Kompleks Bersepadu, Pengerang, Johor, pada 15 Mac lalu.

    Arwah suaminya yang berkhidmat dengan Perfchm sejak beberapa tahun lalu itu adalah salah seorang daripada lima mangsa yang terbunuh dan rentung di tempat kejadian dalam insiden yang menggegar bandar Pengerang itu.

    Nor Siti melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati  kerana pihak yang bertanggungjawab iaitu Prefchem tidak menguruskan pelbagai hal termasuk tuntutan wang pampasan hingga kini.

    “Selepas kematian arwah suami, banyak urusan berkaitan saya dan anak tunggal, Muhammad Firas Norfazly berusia dua tahun itu seperti tuntutan insurans, polisi insurans arwah suami dan wang pampasan lewat untuk diselesaikan.

    “Saya sudahlah tidak bekerja dan sebelum ini bergantung hidup atas pendapatan suami untuk menyara anak berusia dua tahun,  pihak terbabit seperti sengaja melewat-lewatkan urusan tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah abangnya di Taman Seri Tanjong, Pantai Kundor dekat sini hari ini (14 Julai).

    Menurut Nor Siti, pihak Prefchem diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanafi Dewa dan beberapa kakitangannya telah datang menemuinya pada 17 Jun lalu sekadar lawatan Hari Raya Aidilfitri dan bukan membantu menyelesaikan masalah.

    Jelasnya, setelah didesak tentang tuntutan polisi insurans perubatan isteri dan anak, polisi insuran arwah suaminya serta tuntutan wang pampasan, barulah pihak terbabit berjanji untuk datang semula pada 1 Julai.

    Allahyarham Norfazly Mad Nor adalah seorang daripada lima mangsa yang terbunuh dan rentung dalam letupan di Kompleks Bersepadu, Pengerang, Johor, pada 15 Mac lalu.

    Namun kata beliau, sehingga kini pihak terbabit tidak memberikan butiran lanjut mengenai kesemua perkara tersebut.

    “Janji tinggal janji. Kata nak datang 1 Julai  berjumpa saya untuk menyelesaikan perkara yang saya bangkitkan tetapi sampai hari ini tiada khabar langsung.

    “Banyak persoalan tentang polisi perubatan dan insurans arwah yang belum dijawab. Asyik-asyik saya diberitahu, ia akan diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya dengan nada kecewa.

    Malah lebih mengecewakan kata Nor Siti apabila beliau meminta slip gaji arwah suaminya sepanjang tempoh enam bulan juga, ia jugak sukar untuk diberikan oleh majikan suaminya itu.

    “Saya dah penat dengan pelbagai janji yang diberikan dan saya mengambil keputusan untuk berurusan dengan pihak Petronas di KLCC tetapi sangat mengecewakan. Saya ingin menemui pihak pengurusan bagi membincangkan tuntutan hak saya. Tetapi mereka sekadar menelefon saya meminta saya bersabar.

    “Nak sabar macam mana. Sudahlah saya tidak bekerja, saya kena tanggung segalanya termasuk anak berusia dua bulan, susu dan makannya. Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk pihak keluarga

    “Sudahlah bantuan kebajikan sewaktu sambutan Aidil Fitri tidak dipedulikan selepas arwah meninggal dunia.

    Urusan penghantaran jenazah suaminya dari Johor Bahru untuk dikebumikan di Melaka dijanjikan RM3,180, tetapi sebaliknya Prefchem hanya membayar RM1,000 untuk dua jenazah,” ujarnya.

    Nor Siti berkata, sepatutnya pihak bertanggungjawab lebih prihatin dengan nasibnya dan bukanya sengaja melewat-lewatkan urusan soal tuntutan pampasan, polisi insurans dan beberapa hal lain.

    Paling tidak katanya, pihak Petronas dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan seberapa segera atau pun bertemu dengannya bagi menyelesaikan beberapa perkara yang masih tertangguh.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here