90 peratus pemain sekarang mampu buru emas hoki Sukan Asia 2022

0
385
A. Arul Selvaraj, pemenang trebel LHM 2020 dengan UniKL. - Foto FB UniKL

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

A.Arul Selvaraj menyifatkan 90 peratus pemain dalam skuad utama negara sekarang, masih boleh dipertaruhkan semula untuk memburu pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 sekali gus layak ke Sukan Olimpik 2024.

Dia yang baru dilantik sebagai ketua penolong kepada ketua jurulatih skuad itu, Roelant Oltmans pada Isnin lalu, merumuskannya berdasarkan umur, pengalaman dan penampilan antarabangsa mereka.

Sambil melahirkan rasa gembira dan bangga kerana mendapat mandat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), katanya, “(tugas ini) memudahkan saya mengenali pemain dan struktur hoki Malaysia.

“Pengalaman dan kepahitan mereka (sekadar beroleh pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 setelah kalah penalti penentuan kepada Jepun) akan menjadikan mereka seperti harimau luka (semakin garang),” katanya, dipetik daripada laporan sebuah stesen TV, semalam.

Arul mengakui turut terkongsi kepahitan dan motivasi sebegitu ketika menjadi penolong jurulatih Ireland yang dihampakan Korea Selatan dalam lapan saat terakhir namun mereka bangkit untuk layak ke Sukan Olimpik berikutnya.

“Oltmans juga seorang jurulatih yang berjaya. Saya gembira menyertainya untuk belajar sebanyak mungkin daripadanya selain membantu pasukan kebangsaan dengan apa yang saya miliki,” kata bekas penyerang negara era 90-an ini.

Arul juga pernah menjadi penolong jurulatih skuad negara bimbingan Paul Revington dari 2012 hingga 2014 malah bersama warga Afrika Selatan itu melatih Ireland dan pasukan negara asalnya.

Bersama kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dia membantu mereka membolot gelaran trebel Liga Hoki Malaysia 2020 merangkumi Piala Sumbangsih, Liga Perdana dan Piala TNB, Februari lalu.

Dia akan memulakan tugasnya pada 15 Ogos ini di samping dua penolong jurulatih sekarang, Muhammad Amin Rahim dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Oltmans, 66, warga Belanda, pernah membawa skuad wanita negaranya muncul juara Piala Dunia 1990 dan skuad lelaki meraih pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Piala Dunia Utrecht 1998.

Misi skuad negara berikutnya ialah Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh dari 17 hingga 27 November ini yang turut hanya disertai enam pasukan terbaik benua ini termasuk India, Jepun, Pakistan dan Korea Selatan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here