Demokrasi pemenang menjadi pemerintah yang kalah

    0
    453
    fotoBERNAMA

    Oleh KAMIL MASLIH

    JIKA ada yang bertanya, apakah perbezaan dalam sebuah perlawanan bola sepak antara sebuah pasukan yang menang 1-0, dengan sebuah pasukan lain yang menang 10-0, jawapannya adalah tidak signifikan.

    Sudah tentu, pasukan yang menang dengan jaringan 10-0, nadanya lebih angkuh, dadanya lebih meninggi, tetapi bagi jaringan 1-0 pun, yang jadi pemenang dan yang kalah pun telah jelas ditentukan, tidak perlu besar mana pun jaringan.

    Pada 13 Julai lalu, pertembungan antara Pakatan Nasional dan Pakatan Harapan di Parlimen menyaksikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang disandang Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ini telah digantikan oleh Datuk Azhar Azizan Harun.

    Keputusan itu dicapai selepas undi belah bahagi yang mana 111 anggota Parlimen bersetuju terhadap usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat berbanding 109 lagi menolak usul berkenaan.

    Pemilihan Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dibuat selepas beliau menjadi satu-satunya calon yang dikemukakan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Melihat kepada keputusan undi belah bahagi berkenaan, perbezaannya sangat tipis iaitu dua undi sahaja namun dua undi itu sahaja sudah cukup untuk menentukan pemenang majoriti dalam pertarungan pertama antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen.

    Dalam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia, terdapat dua kaedah pengundian usul, satu cara adalah melalui undi suara yang mengukur lebih suara antara wakil rakyat menyokong atau membangkang, manakala satu cara lagi adalah undi belah bahagi yang memerlukan kiraan undi setiap wakil rakyat secara individu.

    Sudah tentu pada era kegemilangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, mantera yang sering kali disebut adalah undi majoriti dua pertiga yang mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tetapi blok sekuat berkenaan tidak wujud sekarang ini.

    Analogi untuk kekuatan majoriti dua pertiga dalam Parlimen adalah seperti anda boleh memindahkan tiang gol dalam perlawanan bola sepak, sudah tentu ia menjadi igauan ngeri kepada mana-mana pihak pun yang menjadi pembangkang.

    Berbalik kepada kedudukan di Parlimen ketika ini, yang mana dua undi telah menjadi pemisah antara majoriti mudah, situasinya adalah tidak benar-benar kukuh bagi pihak Pakatan Nasional yang menguasai kerajaan, namun ia bukan berita gembira bagi Pakatan Harapan yang menduduki kerusi pembangkang.

    Dalam keadaan sekarang, tugas berat menanti kepada kedua-dua Ketua Whip kerajaan dan pembangkang kerana walau seorang dua wakil rakyat mereka ponteng sidang Parlimen, keputusan mana-mana individidu akan menterbalikkan keadaan.

    Jika ada perkara bagus yang boleh dikutip selepas era kerajaan menguasai dua pertiga Parlimen adalah mana-mana wakil rakyat perlu berfikir banyak kali sebelum menghilangkan diri sehingga tidak nampak di Parlimen mahupun di kawasan masing-masing.

    Melainkan ada yang menyeberang jambatan, tidak ada apa yang akan dapat mengejutkan dalam perjalanan Parlimen kali ini kerana amalan demokrasi di Malaysia adalah setiap anggota Dewan Rakyat mengundi mengikut blok mereka masing-masing.

    Berbahas panjang mana pun, maki hamun tidak kira apa pun, suara yang akan anda dengar pada penghujungnya adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat bercakap ‘lebih suara setuju’ jika tiada undi belah bahagi dilakukan.

    Sekiranya kepercayaan hendak diletakkan kepada undi belah bahagi, penyokong kerajaan telah pun diketahui siapa dan penyokong pembangkang pun diketahui siapa, kerana masing-masing akur kepada pemimpin masing-masing.

    Amalan demokrasi tidak kira di mana-mana negara pun adalah pemenang menjadi pemerintah kepada mereka yang kalah. Dan ia akan berterusan, selama mana pun, sehinggalah pilihan raya akan datang.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here