Wan Kuzri pertaruh gaya ‘Ala Amerika’

0
1023
WAN KUZRI WAN AHMAD KAMAL

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KREATIF, mampu menjaringkan gol dan membuka peluang di barisan depan.

TIGA ciri ini mahu cuba dipertaruhkan Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal dalam merebut tempat skuad remaja negara pada Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC di Uzbekistan, Oktober ini.

Dia meluahkan keyakinannya ketika ditanya harapan tinggi banyak pihak kepadanya ekoran reputasi selaku perantara pasukan Akademi Bola Sepak St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat.

“Saya fikir saya kreatif, mampu menjaringkan gol dan mencipta peluang di barisan depan,” katanya, menjawab apa ciri-ciri istimewanya di antara 35 pelatih skuad B19 Malaysia.

Katanya, peluang yang dihidangkan kepadanya wajar dibuktikan dalam sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya biarpun memasuki kem beberapa hari agak lewat kerana perlu menjalani kuarantin mengesan gejala Covid-19, setibanya dari Amerika.

LATIHAN bersentuhan sesama pemain sudah dilaksanakan skuad B19 sejak semalam. – Foto FAM

“Saya rasa terhormat jika dipanggil mewakili pasukan (remaja Malaysia). Saya datang sini dengan fikiran terbuka dan tengok bagaimana untuk menyesuaikan diri walaupun tidak banyak saya ketahui tentang pasukan.

“Saya fikir bola sepak itu sejagat dan berharap permainan saya seperti di Amerika dapat diterjemahkan di sini. Di Amerika, corak permainannya lebih fizikal.

“Harapan tinggi orang? Saya tidak fikir sangat tentangnya. Saya hanya masuk dan cuba bantu pasukan dengan permainan saya,” kata anak seorang profesor kelahiran Kelantan yang lama menetap di Carbondale, Illinois ini.

Kuzri turut menyedari ramai yang mungkin membandingkannya dengan abangnya, Wan Kuzain, pemain Sporting Kansas City yang pernah menyertai sesi latihan skuad B22 negara tetapi kempunan Sukan SEA Filipina 2019.

“Ya, perbandingan itu sudah tentu ada kerana jelas sekali kami dua beradik tetapi masih ada dua pemain yang berbeza dalam persamaan itu,” katanya.

Sesi latihan pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Bradley Maloney yang bermula 6 Julai lalu, sudah memasuki fasa bersentuhan sejak semalam di bawah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Harimau Remaja yang diletakkan di ranking kesembilan Kejohanan B19 AFC 2020, diundi dalam Kumpulan D dengan juara 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen di Stadium AGMK, Olmalik.

Jika berjaya mara ke separuh akhir, secara automatik mereka akan meraih satu daripada empat slot Asia ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2021 di Indonesia.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here