Pengarah Nurhalim meninggal dunia

0
477
Nurhalim Ismail (duduk kanan) bersama pelakon di set penggambaran.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PENGARAH Nurhalim Ismail, 63, meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi (17 Julai 2020) akibat kanser paru-paru, di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke surau Ar-Rahman, Seksyen 9, Putra Height, Shah Alam untuk dimandi dan dikafankan pada pukul 8 pagi, manakala solat jenazah pula pada pukul 10 pagi hari ini (18 Julai).

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan di USJ 21, Subang Jaya, sekitar pukul 10.30 tadi.

Allahyarham yang merupakan penghidap kanser paru-paru tahap empat baru sahaja menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, Selangor pada 16 Jun lalu.

Menurut pengurus produksi Nur TV Production, milik Allahyarham iaitu Mohd. Yusof Harun, penerbit itu menghidap kanser paru-paru dan lambat menjalani rawatan.

“Kerana itu, air dari paru-paru sudah sampai ke jantung. Doktor terpaksa menebuk jantung untuk keluarkan air. Ketika itulah dia perlu buat pembedahan kecil di jantung.

Nurhalim adalah pemilik Nur TV Production.

“Doktor nak buat kimoterapi tapi arwah ada sedikit masalah buah pinggang dan perlu dicuci dulu. Apabila prosesnya selesai dan keluarkan air dari paru-paru, baru boleh buat kimoterapi,” katanya dalam laporan yang disiarkan menerusi Harian Metro.

Tambah Mohd. Yusof, Allahyarham sempat melakukan proses kimoterapi tiga kali pada bulan dan kesannya dia hilang selera makan.

“Apabila tak makan, ditambah dengan pengambilan ubat-ubatan tenaganya tak cukup. Kali terakhir saya bertemunya pada 9 Julai lalu dan dia masih boleh bergerak. Pada 10 Julai dia dimasukkan ke IKN dan sejak itu keadaannya lemah. Apapun saya dan tenaga produksi reda kerana Allah lebih menyayanginya,” jelasnya.

Antara drama arahan Nurhalim adalah Wasiat Rindu, Tanya Sama Pokok, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya dan Dari Damsyik Ke Perlis. Malah filem Panas, arahannya dan lakonan Aleeza Kasim pada 1998 mendapat perhatian ramai.

Beliau juga antara orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr. Mahadi J. Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Kamal Ishak (Allahyarham), Othman Zainuddin (Allahyarham) dan M.Yusof Mohamad.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here