Luahan bekas kakitangan Utusan kepada Perdana Menteri

0
4282

CORETAN…buat Yang Dihormati Perdana Menteri Malaysia, YB. Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin.

Terlebih dulu saya memohon berbanyak kemaafan andai ada kata-kata saya nanti tidak sesuai diperkatakan dalam coretan kepada YB Tan Sri.

Saya amat bersyukur pada Allah swt kerana negara kini dikurniakan seorang Perdana Menteri yang bertanggung jawab memikul amanah, memastikan rakyat hidup dalam aman sejahtera, terbela keperluan makan minum, dengan adanya bantuan² yang kerajaan salurkan bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas. Moga YB Tan Sri sentiasa beroleh kesihatan yang baik dan sentiasa mendapat rahmat Illahi dalam menerajui kepimpinan negara.

Untuk pengetahuan YB Tan Sri, saya salah seorang bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, yang sudah terkubur angkara kerakusan segolongan orang politik. Saya juga bersama 800 bekas kakitangan Utusan yang terlibat dengan tawaran VSS 2018, yang sehingga kini tidak menerima sebarang bayaran pampasan seperti yang dijanjikan.

YB Tan Sri, hari ini orang ramai mengucapkan tahniah atas kemunculan semula akhbar Utusan Malaysia. Tapi bagi saya sudah tiada ertinya lagi. Utusan kini bukan Utusan Malaysia yang dulu. Hari ini Utusan Malaysia terbit semula di atas kesengsaraan 800 bekas kakitangan VSS 2018 dan 800 bekas kakitangan yang diberhentikan mengejut pada 2019.

Kami yang dulunya berkorban memperjuangkan nasib bangsa Melayu, agama Islam serta negara Malaysia akhirnya ‘terkorban’ dek kerakusan orang-orang politik yang berkepentingan.

Mereka langsung tidak memikirkan nasib 1600 kakitangan, belum dikira jumlah ahli keluarga yang menjadi mangsa peperangan politik pemimpin-pemimpin negara yang berebut pangkat dan kuasa.

Mereka ini biarpun apa terjadi, harta benda mereka tujuh keturunan tak akan habis. Kekayaan mereka melimpah ruah. Bak kata Tun Mahathir selepas menjadi PM ke 7, biarkan Utusan Melayu mati dengan sendiri.

Sampai masanya Utusan Melayu terkubur tetapi yang sedihnya 1600 kakitangan bersama-sama ahli keluarga turut terkubur bersama.

Sudah hampir dua tahun kami menunggu pampasan. Yang mampu bekerja mungkin masih boleh terus bekerja mencari majikan baru. Kasihan pada yang tak berdaya, dengan usia tua serta kesihatan yang tak mengizinkan, majikan mana yang mahu terima bekerja.

Sepatutnya yang dah berusia, bila berhenti kerja sudah boleh berehat bersama keluarga atau menghabiskan usia tua dengan amal ibadat setelah bertahun² sibuk dengan tugasan. Tetapi masih ada lagi yang terpaksa bekerja untuk menanggung keluarga di usia tua.

Rasanya pada YB Tan Sri saja yang kami harapkan. Kami mohon jasa baik serta budi bicara YB Tan Sri dapatlah kiranya campur tangan dalam permasalahan yang kami hadapi ini.
Kuasa politik yang ada di tangan YB Tan Sri saja yang mampu membela nasib 1600 bekas kakitangan Utusan Melayu yang terkorban ini…dengan izin Allah.

Andai YB Tan Sri berjaya menyelesaikan masalah ini, bayangkan 1600 bekas kakitangan Utusan termasuk beribu² lagi ahli keluarga yang akan merasa kehidupan mereka terbela oleh seorang Perdana Menteri berjiwa rakyat. Ramai lagi rakyat yang perlukan bantuan, tetapi kami bekas kakitangan amat kecewa dan terkilan apabila pengakhiran kerjaya kami umpama terbuang begitu saja. Anak² dan isteri turut kecewa kerana mereka lebih memahami pengorbanan masa suami atau isteri mereka semasa bertugas dulu, lebih banyak masa di tempat kerja, berbanding masa bersama keluarga.

Saya amat berbesar hati andainya YB Tan Sri dapat menyelami keperitan, kesusahan, kesempitan bekas kakitangan Utusan yang sebenarnya dalam keadaan keluh kesah memikirkan hal pampasan VSS 2018 serta nasib sebahagian kakitangan yang diberhentikan mengejut.

Dan lebih menyedihkan, ada bekas kakitangan VSS 2018 yang sudah kembali kerahmatullah dalam masa ternanti² duit pampasan, meninggalkan anak isteri tanpa mendapat apa² imbuhan dari majikan. Ini saja LUAHAN dari saya yang tak pandai berbicara.

Wassalam.

Zulkarnain Saidin  (@ Zul Apa Macam Kawan)

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here