Malaysia perlu sampaikan laporan cara negara layan warga asing – Dr Mahathir

    0
    454

    KUALA LUMPUR — Kerajaan disaran menyampaikan laporan berkenaan cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

    Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) berkata langkah itu adalah lebih baik berbanding mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat dokumentari mengenai hal berkenaan.

    “Saya sedar bahawa pendatang tanpa izin menimbulkan banyak masalah terutama semasa wabak COVID-19. Mereka takut memperkenalkan diri kerana akan dihantar balik. Tetapi mereka hendaklah dikenal pasti supaya mereka tidak jadi kluster COVID-19.

    “Orang asing mudah tuduh kita kasar terhadap pendatang tetapi Eropah, Amerika Syarikat, India lebih kasar,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan COVID-19 dan polis dilaporkan sedang menyiasat kes berkenaan.

    Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia bukan negara maju, namun disebabkan layanan yang lebih baik, ramai migran memilih untuk datang ke negara ini sehingga menyebabkan jumlahnya meningkat kepada tujuh juta orang.

    “Walaupun kita memberi layanan yang baik tetapi terdapat juga kes yang ternampak seolah-olah kita tidak bertimbang rasa,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata satu kajian saintifik perlu dilakukan bagi mengenal pasti mengapa isu polarisasi kaum berbangkit di negara ini.

    Mengambil contoh Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan berdasarkan kajian susulan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir berkata dasar itu telah berjaya mengurangkan jarak pencapaian dalam bidang ekonomi antara kaum di Malaysia.

    Beliau berkata polarisasi antara kaum dapat dikurangkan sekiranya kerajaan mampu menangani perbezaan antara kaum dalam negara.

    “Perbezaan kaum tidak akan membawa rusuhan jika tidak ada perbezaan dari segi agihan kekayaan,” katanya.

    Salinan Media - Perbahasan Titah Diraja oleh YABhg Tun Dr Mahathir bin Mohamad - 21 Julai 2020

    — BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here