Statut FAM dipinda: Pisahkan FC dengan FA negeri

0
426
HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) mempengerusikan mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. Dua dari kiri, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, Timbalan Presiden FAM dan Pengerusi AFL. - Foto FAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

STATUT (perlembagaan) semua ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan diselaraskan dengan statut badan induk itu yang turut akan memindanya dengan mengambil kira konsep pemisahan antara persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC).

Siaran media FAM hari ini melaporkan, keselarasan statut ini juga akan selari dengan apa yang diamalkan sekarang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Arahan penyelarasan tersebut merupakan antara empat perkara utama yang diputuskan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden persatuan, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, hari ini.

Konsep pemisahan itu akan menswastakan pengurusan pasukan dalam Liga Super dan Perdana yang turut bebas daripada kuasa dan pentadbiran FA negeri dan ahli-ahli gabungan lain FAM.

Pindaan statut ini dijangka perlu dibawa kepada kelulusan Kongres Tahunan Ke-56 FAM pada 29 Ogos ini di sebuah hotel di Petaling Jaya.

“Turut diputuskan Exco FAM ialah pelantikan seorang pengerusi dan tiga ahli berkecuali dalam sebuah jawatankuasa pemilihan bebas yang akan dibentuk bagi memastikan proses pemilihan Exco 2021-2025 dalam Kongres FAM 2021 dijalankan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dalam industri bola sepak Malaysia.

“Jawatankuasa baharu ini dibentuk sebagai matlamat FAM untuk memastikan sistem pemilihan FAM selaras amalan tadbir urus yang baik dan telus oleh AFC dan FIFA,” lapor siaran itu.

Sementara itu, Exco juga mengesahkan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) – badan pengurus Liga Super dan Perdana, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan Piala Pencabar, untuk menyerahkan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) kepada FAM.

AFL ketika ini menguruskan dua pertandingan amatur, Liga M3 (dulunya Liga/Piala FAM) dan M4.

Liga M3 dan M4 itu dijangka diletakkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang kini turut mengendalikan Piala Presiden dan Belia (bawah 21 dan 19 tahun).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here