Jangan aniaya jemaah patuh SOP masjid, surau

0
1083
FOTO: Aziz A. Shariff

MINGGU ini sekali lagi nama saya dipilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP), daerah Kajang, Selangor. Alhamdulillah terpilih dalam kalangan 1,400 jemaah.

Di Selangor, kaedah yang digunakan adalah mereka yang layak perlu membuat permohonan kepada pihak masjid atau surau Jumaat. Itu ketetapan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Di MBSP, permohonan dibuka pada 20 Julai dan semalam jemputan rasmi dihantar melalui WhatsApp. Senarai nama juga dikeluarkan untuk semakan.

Begitulah kaedah untuk solat Jumaat di Selangor. Justeru jemputan untuk solat Jumaat amat bernilai. Hargailah jemputan itu kerana mungkin ramai lagi yang tidak berpeluang dan terpaksa mencari masjid di luar kawasannya semata-mata untuk solat.

Hadirlah untuk solat dan pada masa yang sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

SOP solat Jumaat termasuklah berwuduk di rumah, membawa sejadah, memakai pelitup muka, mendaftar di masjid dan memeriksa suhu badan. Di sesetengah masjid jemaah digalakkan membawa plastik untuk diisi kasut bagi menjaga penjarakan ketika keluar mengambil kasut.

Adakah jemaah mematuhi arahan atau SOP ini? Apa pula peranan pentadbir masjid dan surau? Jika jemaah mematuhi prosedur dan pihak masjid dan surau pula mematuhi arahan yang dikeluarkan, maka semuanya akan berjalan lancar. Ibadah dapat disempurnakan walaupun dibatasi SOP.

Apa yang penting patuhlah arahan. Hormati undang-undang atau peraturan demi kemaslahatan umah. Jangan sia-siakan peluang untuk kembali beribadah dengan lebih baik setelah lebih tiga bulan tidak berjemaah dan kuliah.

Dalam hal ini dua peringatan pihak berkuasa agama Islam di Selangor perlu diberi perhatian sama ada oleh jemaah atau pentadbir masjid. Di sana sini sudah nampak kelonggaran atau alpa berkaitan SOP. Sikap tidak apa dan meremehkan peraturan.

Pertama ingatan Jabatan Mufti Selangor mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat mengikut SOP termasuk mendaftar dan berusaha hadir mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS).

Bagi mereka yang mendapat pengesahan kehadiran, wajib hadir. Berdosalah sekiranya dengan sengaja tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie atau sengaja memberikan pengesahan tersebut kepada orang lain. Jika uzur, pengesahan boleh diserahkan kembali kepada masjid atau surau untuk tindakan selanjutnya.

Berhubung perkara ini, dua minggu lalu, khutbah Jumaat di Nilai, Negeri Sembilan menyifatkan mereka yang berjaya mendaftar tetapi tidak hadir sebagai zalim kerana mereka menzalimi atau menyekat peluang orang lain yang ingin hadir solat.

Satu perkara lagi adalah ingatan JAIS untuk menutup serta merta masjid atau surau yang melanggar tatacara SOP. Langkah tegas itu adalah bagi mengelak rumah ibadat menjadi tempat penularan wabak Covid-19.

Menurut Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, jawatan kuasa pemantau yang dianggotai JAIS, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju tindakan tegas diambil terhadap masjid dan surau yang melanggar SOP.

“Kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor, peringatan saya adalah jika tidak mahu ditutup sila patuh arahan ditetapkan, kita sudah beri kelonggaran solat berjemaah, jadi jaga elok-elok,” katanya seperti dilaporkan SelangorKini.

Untuk rekod, pada 14 Mei, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membenarkan solat Jumaat di 39 masjid terpilih dengan jemaah tidak melebihi 12 orang dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Bilangan tersebut kemudian ditambah kepada 40 orang mulai 12 Jun. Pada 17 Julai baginda berkenan membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau ditambah mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

Justeru dua peringatan ini perlu dipatuhi. Jangan disebabkan kelalaian, kedegilan atau keegoan seorang dua jemaah yang tidak mematuhi SOP akan menjejaskan orang lain untuk ‘menikmati’ solat berjemaah di masjid atau surau.

Jika ini berlaku, bermakna kita menzalimi atau menganiaya orang lain. Kehadiran kita di masjid dan surau dengan mematuhi SOP biarlah jujur dan ikhlas, tidak menimbulkan kerisauan jemaah lain apabila ada yang tidak memakai pelitup, tidak membawa sejadah, kurang sihat seperti batuk atau selesema.

Jangan tunjuk diri kebal apabila tidak menghiraukan SOP.
Utamakan usaha dan ikhtiar menjaga diri kita dan orang lain, selebihnya biar Allah SWT tentukan.

“Kita kena tahu, apabila kita pakai pelitup muka itu, kita bukan hanya menyelamatkan diri kita, tetapi juga menyelamatkan orang lain juga,” kata Ketua Jawatankuasa Khas Covid Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau turut bimbang terhadap mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala, kerana impaknya amat besar.

“Saya tegaskan, yang tidak bergejala itu adalah lebih bahaya kerana dia menyangka dia sihat. Bayangkan sebelum bergejala itulah berlakunya jangkitan apabila kita batuk bersin dan sebagainya dan kita buat sentuhan, bersalaman dan sebagainya,” tambahnya.

Ingatan bekas menteri kesihatan ini adalah, Jawatankuasa Khas Covid Selangor akan terus memantau situasi Covid-19 serta pematuhan SOP dalam kalangan rakyat termasuk di masjid dan surau.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang akan menjadi penyebab penutupan semula masjid atau PKP dikembalikan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here