Drama Melayu boleh ditonton menerusi iQIYI

0
354
Drama ini boleh diikuti di platform iQIYI mulai 24 Julai 2020.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DRAMA 7 Hari Mencintaiku musim kedua yang sedang trending sekarang ini, boleh ditonton oleh penonton luar negara, bermula 24 Julai 2020.

Peluang tersebut tercetus apabila penerbit dan pengedar kandungan tempatan terbesar di Malaysia, Primeworks Studios mengambil keputusan bekerjasama dengan iQIYI, sebuah syarikat gergasi perkhidmatan hiburan dalam talian di China.

Kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian kerjasama tersebut pada hari ini.

Selain drama 7 Hari Mencintaiku, lima lagi drama Melayu terbaik yang pernah ditayangkan di TV3 juga akan disiarkan menerusi iQIYI, platform yang semakin pesat dan bakal menguasai pasaran antarabangsa.

Drama tersebut adalah 7 Hari Mencintaiku musim pertama, Leftenan Zana, Kampung People, Setelahku Dimiliki dan sebuah siri baharu iaitu Pengantin Satu Malam yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos ini dan boleh ditonton secara eksklusif serta percuma di iQIYI, satu jam selepas ia bersiaran di TV3.

“Kerjasama yang dimeterai bersama iQIYI amat penting buat kami untuk memastikan kami sentiasa mengikuti trend masa kini yang melibatkan platform penstriman.

“Ianya bukan sahaja memberi kami peluang untuk mengikuti peredaran masa, malahan kami juga dapat mensasarkan golongan penonton baharu yang berpotensi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Sementara itu, Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapura & Brunei, Dinesh Ratnam berkata, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi dan strategi utama pihak mereka dalam memberikan kandungan drama Asia terbaik dan relevan untuk pengguna serta menyediakan kandungan drama berkualiti tinggi.

“Kami amat berbangga untuk mengumumkan kerjasama kami bersama Media Prima yang secara langsung menyaksikan kejayaan iQIYI dalam menyampaikan kandungan tempatan Malaysia yang berkualiti kepada pengguna kami.

Bukan setakat 7 Hari Mencintaiku kedua yang boleh diikuti di iQIYI, malah yang musim pertama juga disiarkan.

“Kerjasama ini merupakan langkah paling tepat dengan suntikan kreatif daripada pengurusan kanan Media Prima yang juga produser tersohor seperti Datuk Iskandar Mizal Mahmood (Paskal The Movie, WIRA) dan Datuk Ahmad Izham Omar (Pulang, Ejen Ali The Movie), kami amat mengalu-alukan pilihan drama terbaik Media Prima ini disiarkan di platform iQIYI,” kata Dinesh.

Untuk permulaan, episod pertama hingga 16, drama 7 Hari Mencintaiku, lakonan Siti Saleha dan Shukri Yahya itu akan dilancarkan di iQIYI mulai hari ini (24 Julai) dan kesemua episod berikutnya tersedia di platform www.iQ.com dan aplikasi  iQIYI secara percuma selepas satu jam disiarkan di TV3.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here