Konsert karya agung S. Amin Shahab di KL tahun depan

0
785
DARI KIRI: Ghafar Nin, S. Amin Shahab dan Hassan Saad selepas sesi perbincangan mengenai “Konsert Karya Agung S. Amin Shahab - Illuminasi Seni” di Galeri S. Amin, di Selayang, Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SUDAH menjadi lumrah sejak berzaman hanya penyanyi yang sering diangkat dan dipuja oleh para peminat senisuara tanpa memandang siapa di sebalik kehebatan sesebuah lagu itu.

Sama ada sedar atau tidak tanpa lirik yang puitis dan melodi yang indah, tidak akan lahir lagu yang mampu menarik perhatian para peminat apalagi untuk menaikkan nama seseorang penyanyi.

Biarpun begitu sama ada penulis lirik atau penggubah lagu, mereka jarang berkata tentang itu kerana bagi mereka menzahirkan karya yang hebat adalah lebih bermakna daripada bersuara tentang sesuatu yang sudah lama menjadi kebiasaan.

Menyedari itulah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur “Konsert Karya Agung S. Amin Shahab – Illuminasi Seni,” Datuk Ghafar Nin mengambil inisiatif meletakkan beliau di tempat yang sewajarnya bersandarkan sumbangannya pada persada seni tanahair.

DARI KIRI: Ghafar Nin, Hassan Saad, Belle Fatah dan Muzik Korordinator konsert, Suraya Osman.

Menurut Ghafar, beliau memilih untuk memartabatkan karya S. Amin Shahab kerana figura itu telah menceburi bidang berkenaan selama 45 tahun.

Ghafar ketika ditemui di Pejabat NQ Cultural Commercial, Petaling Jaya, Selasa lalu memberitahu,
S. Amin bukan sahaja telah menulis lebih 1,000 lirik malah telah menghasilkan lebih 1,000 lukisan sepanjang 45 tahun penglibatannya dalam bidang tersebut.

“Istimewanya konsert yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu nanti, para peminat bukan sahaja akan dihiburkan dengan lagu-lagu lirik oleh S. Amin Shahab malah pameran lukisan beliau juga akan diadakan.

“Sejujurnya saya memang mengagumi lirik puitis beliau dan sejak empat dekad menceburi bidang ini, lirik beliau telah menaikkan nama ramai artis tanahair,” kata Ghafar.

Menyebut beberapa nama artis yang cukup popular dengan lirik dari idea S. Amin antaranya Alleycats (Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi), Iklim (Suci Dalam Debu), Search (Kejora), Lefthanded (Ku Di Halaman Rindu), Datuk Sharifah Aini (Qasidah di Jabal Rahmah), Datuk Jamal Abdillah (Kekasih Awal dan Akhir), Fauziah Latiff (Teratai Layu Di Tasik Madu) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (Kurniaan Dalam Kesamaran) kata Ghafar,

“Bagi saya menghayati setiap lirik Amin membuatkan jiwa tenang kerana ia mempunyai mesej yang tersendiri.

TENAGA kerja “Konsert Karya Agung S. Amin – Illuminasi Seni”

“Disamping nasihat, lirik beliau juga menerapkan unsur keagamaan dan nilai-nilai murni jika kita benar-benar memahaminya seperti lagu Suci Dalam Debu,” kata Ghafar.

Menurut beliau, idea untuk menganjurkan konsert berkenaan pada tahun 2021 dengan Pengarah Muziknya, Belle Fatah, telah lama difikirkan dan ianya menjadi kenyataan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Semuanya gara-gara sahabat saya, Hassan ke Balai Polis Selayang untuk meminta kebenaran merentas negeri dan terserempak S. Amin di sana.

“Apabila saya mendapat tahu tentang pertemuan itu, saya dan Hassan mengumpul idea untuk konsert berkenaan. Alhamdulillah pada 9 Julai lalu kami bertemu dan berbincang dengan S. Amin dan beliau bersetuju dengan idea kami,” cerita Ghafar.

Apabila ditanya mengapa mereka bersungguh-sungguh mahu menganjurkan konsert berkenaan Ghafar, bekas Pengarang Majalah Media Hiburan dan Datuk Hassan Saad, Pengarah Acara program berkenaan yang juga bekas jurufoto Majalah Varia Pop berkata,

“Konsert itu nanti bukan sahaja mengangkat hasil karya S. Amin malah saya berharap beberapa program yang kami atur sedikit sebanyak dapat menjentik minda penulis lirik hari ini dalam menghasilkan karya mereka.

“Lirik sesebuah lagu mencerminkan bangsa, adab dan budaya kita tetapi kebanyakann lirik hari ini amat mengecewakan.

“Mungkin bagi penyanyi sekarang usia membuatkan saya tidak menghargainya tetapi apa yang dapat saya simpulkan kebanyakan lirik lagu-lagu hari ini ke laut dan tidak mempunyai makna.

“Cuba hayati lirik lagu-lagu tahun 1950-an ciptaan P.Ramlee dan 1960-an nyanyian A. Ramlee dan penyanyi seangkatannya, ia mampu membawa kita menyelami hati mereka yang bahagia, gembira dan kecewa,” kata Ghafar.

Menyentuh mengenai beberapa program yang akan diadakan sebelum menjelangnya konsert anjuran Pertubuhan Masyarakat Harmoni Malaysia, Ghafar yang juga pengerusi pertubuhan itu berkata;

“Pihak kami akan menganjurkan Wacana Perdana Seni pada 22 Oktober ini yang membincangkan mengenai lirik-lirik S. Amin diikuti Bengkel Penulisan Lirik
(31 Oktober), Pertandingan menyanyi lirik S. Amin bermula 28 November akan diadakan setiap zon (Tengah – Kuala Lumpur, Utara – Sungai Petani, Kedah, Selatan – Johor Baharu, Pantai Timur – Kuantan dan Borneo) dan Minum Petang – Konsert Mini Akustika S. Amin Shahab pada 30 Disember.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here