13 kes baru Covid-19, 1 kematian dicatat

0
745

SEBANYAK 13 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 23 semalam, manakala 6 pesakit disahkan sembuh.

Jumlah kematian bertambah pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 124.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 2 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 1 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,897 kes Covid-19 dengan 8,600 daripadanya disahkan sembuh.
173 pesakit kini dirawat di hospital seluruh negara.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-124, merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai serta mendapat rawatan pada 9 Julai. Pesakit dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari sama untuk rawatan lanjut. Ujian Covid-19 didapati positif,” katanya.

Tambahnya, keadaan wanita berkenaan semakin merosot dan menjadi semakin tenat selepas itu. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai, jam 12.04 pagi tadi.

Noor Hisham juga berkata, daripada 13 kes baru hari ini, 3 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan seorang warganegara tempatan dan 2 bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“3 kes import itu adalah dari Pakistan (1 kes), Kazakhstan (1 kes) dan Indonesia (1 kes),” katanya.

Tambah Noor Hisham, daripada 10 kes penularan dalam negara, 1 kes melibatkan bukan warganegara Malaysia, manakala 9 kes adalah dalam kalangan rakyat tempatan.

“Kes jangitan dalam kalangan bukan warganegara adalah di Johor, membabitkan 1 kes daripada kluster Bukit Tiram. Manakala, bagi kes jangkitan dalam kalangan warganegara adalah 6 kes di Johor, juga membabitkan kluster Bukit Tiram.

“Di Pahang pula terdapat 1 kes, iaitu daripada saringan pra-prosedur.

“Di Sabah 1 kes, iaitu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8,662 dan di Sarawak (1 kes) daripada kluster Sentosa,” katanya.

https://bit.ly/30QBjLZ
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here