Harimau Selatan dapat kelebihan ‘kandang’ sendiri ACL

0
253
JDT mengekori Vissel Kobe di anak tangga kedua Kumpulan G ACL 2020 dengan tiga mata. - Foto FB JDT

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

MALAYSIA disahkan menjadi tuan rumah berpusat baki perlawanan pusingan awal Kumpulan G dan H Zon Timur Liga Juara Asia (ACL) 2020 dari 17 Oktober hingga 1 November dengan antara kemungkinan besar venuenya ialah Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah pusingan kedua yang menemukan dua pasukan daripada kumpulan berkenaan pada 4 November, dua perlawanan suku akhir (25 November) dan satu aksi separuh akhir, tiga hari kemudian.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan pemilihan Malaysia itu dalam siaran medianya, semalam (27 Julai 2020) selepas menerima hasrat negara ahli gabungannya itu menjelang batas waktu yang ditetapkan.

Keputusan badan induk itu turut bakal memberikan kelebihan gelanggang dan penyokong sendiri malah mampu mencerahkan peluang wakil tunggal Malaysia dalam ACL musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) merebut dua slot peringkat kalah singkir daripada Kumpulan G.

SAFAWI Rasid, penjaring gol tunggal JDT menentang Vissel Kobe di Kobe, Februari lalu. – Foto FB JDT

Kini menghuni anak tangga kedua Kumpulan G, JDT masih berbaki empat perlawanan peringkat awal ini yang telah tertangguh kerana kebimbangan dunia terhadap penularan pandemik maut Covid-19 sejak Mac lalu.

Sang Harimau Selatan akan menyambungnya semula dengan berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 17 Oktober, menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (23 Oktober), melawan Vissel Kobe, Jepun (29 Oktober) dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande tanggal 1 November.

JDT sudah mengharungi dua perlawanan Kumpulan G dengan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di SSI tanggal 3 Mac lalu.

Semua perlawanan pada peringkat kalah singkir, akan dimainkan secara satu pusingan sahaja, begitu juga perlawanan akhir yang dijadualkan di rantau Asia Barat, tidak seperti edisi ACL terdahulu (timbal balik).

Venue berpusat bagi Kumpulan E dan F ACL di samping baki perlawanan kalah singkir belum disahkan.

AFC terdahulu mengesahkan Qatar sebagai hos venue berpusat bagi perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan dan kalah singkir di rantau Asia Barat.

Aksi peringkat kumpulan ACL 2020 masih dijalankan dua pusingan tetapi bukan lagi juga secara timbal balik sebaliknya di venue berpusat sahaja bagi mencegah ancaman penularan Covid-19 dan ekoran banyak negara mengenakan sekatan pergerakan rakyatnya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here