[VIDEO] Anjing penyelamat ‘diselamatkan’ pasukan penyelamat!

0
227

PELIK… Ini mungkin insiden paling memalukan bagi anjing spesies kacukan yang amat terkenal dalam operasi menyelamatkan orang dari kes kecemasan di banjaran tinggi terkenal Alp Eropah.

Namun, itulah berlaku apabila seramai 16 anggota penyelamat dikerah untuk menyelamatkan seekor anjing baka Saint Bernard yang terkandas di puncak sebuah gunung tertinggi England.

Anjing bernama Daisy itu dikatakan rebah secara tiba-tiba ketika bersama pemiliknya menuruni Scafell Pike setinggi 978 meter di Taman Negara Lake District, Cumbria hujung minggu lepas.

Media Britain melaporkan, pasukan sukarela dari Kumpulan Penyelamat Gunung Wasdale dekat kawasan hutan tersebut kemudian segera dipanggil pihak polis setempat bagi bantu mangsa.

Ia susulan anjing itu telah tunjuk tanda-tanda sakit di bahagian kaki sebelum duduk dan enggan bangun hingga waktu malam menyebabkan tuannya itu terpaksa minta pertolongan pihak luar.

Sejurus tiba, pasukan itu ‘memperkenalkan diri’ kepada Daisy, dan hasil pujukan dua anggota penyelamat, mereka berjaya menilai keadaan sebelum beri ubat untuk melegakan kesakitannya.

Bagaimanapun ujar mereka lagi, usaha bawa anjing yang seberat 55 kilogram di atas pengusung menuruni gunung itu memerlukan ‘banyak’ ganjaran dan semangat agar Daisy tidak meragam.

“Selain melakukan sedikit penyelarasan, usaha pemindahan anjing ini sebenarnya tidak banyak beza daripada pemindahan seorang dewasa,” jelas kumpulan itu menerusi kenyataan medianya.

Video usaha penyelamat tersebut selama hampir lima jam itu menunjukkan kumpulan berkenaan turut meredah sungai serta angkut pengusung agak tinggi bagi melepasi satu kawasan berpagar.

Anjing jenis lasak itu dipercayai mula diternak paderi Kristian Itali untuk pandu penziarah ke kota suci Vatican lintasi laluan berbahaya pergunungan Alp yang dirujuk Great Saint Bernard Pass.

Baka ini sering digunakan bagi misi kesan mangsa salji runtuh kerana deria bau hidungnya amat baik, malahan sepanjang 300 tahun lalu, haiwan itu sudah menyelamatkan lebih 2,000 orang.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here