Najib bersalah semua 7 pertuduhan

    0
    669
    fotoBERNAMA

    NAJIB Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Bekas perdana menteri itu kelihatan tenang semasa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membacakan keputusan beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Kata Mohd Nazlan, pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes yang dibawa pasukan pendakwaan.

    Disebabkan itu, kata hakim, pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes ke atas Najib melebihi keraguan yang munasabah.

    Keputusan hari ini adalah sabitan pertama Najib yang berdepan puluhan pertuduhan lain dalam skandal syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

    Antara kes lain yang sedang dibicarakan ialah berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta milik SRC.

    SRC sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB sebelum ia kemudian menjadi milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) kemudiannya.

    Untuk rekod ketika menjadi perdana menteri, Najib juga sebelum ini merupakan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, penasihat emeritus SRC dan menteri kewangan.

    Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menetapkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau RM10,000 bergantung mana yang lebih tinggi.

    Tiga pertuduhan pecah amanah pula dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

    Bagaimanapun Najib,67, akan terkecuali daripada hukuman sebatan berdasarkan kepada faktor usianya.

    Baki tiga lagi pertuduhan yang dikenakan pada Najib membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

    Untuk itu beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Ia menyediakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lima kali ganda wang yang terlibat, tertakluk kepada mana yang lebih tinggi.

    https://bit.ly/30X2yo0
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here