Fauziah Nawi sibuk di lokasi sejak PKPP

0
296
FAUZIAH Nawi bersama Harun Hashim dalam satu babak drama komedi “Mummy Oja.”

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

RAMAI yang mengeluh apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, tetapi bagi Fauziah Nawi ia secara tidak langsung telah menjalinkan silaturrahim tanpa diduga dan kasih sayang sesama insan.

“Saya tidak nafikan semasa PKP ramai yang tidak bekerja malah menjejaskan kehidupan kita tetapi tanpa disedari ketika susah itulah telah mengeratkan silaturrahim sesama insan tidak kira bangsa dan agama kerana kita saling membantu walaupun kita tidak kenal sebelum ini.

“Betapa tidak, sepanjang PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saya tidak putus-putus menerima bantuan makanan seperti barangan dapur dan beras berkampit-kampit.

“Saya hanya tinggal berdua dengan adik saya, Poizi, jadi saya panjangkan hadiah itu kepada kawan-kawan.

“Bukan itu sahaja, malah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ianya telah menemukan saya dengan insan berhati mulia bermula sekadar tempahan makanan secara online ketika puasa enam tetapi hingga kini ada yang menjadi adik angkat dan anak angkat saya,” cerita Primadona Fauziah Nawi, 67, menyingkap kembali kehidupannya sepanjang PKP, PKPB dan PKPP.

FAUZIAH NAWI

Bagaimanapun, katanya, beliau bukanlah mahu kehidupan yang ‘terkongkong’ itu berterusan sebaliknya berharap masyarakat lebih menghargai ‘kebebasan’ hari ini tanpa mengabaikan SOP demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya berharap kita belajar daripada pengalaman yang lalu dan sentiasa patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana kini kita boleh mencari rezeki demi kelangsungan hidup,” kata Fauziah Nawi yang mula memasukki lokasi penggambaran pad 10 Jun lalu.

Beliau yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran “Mummy Oja” drama komedi 26 episod terbitan TV Awesome berharap akan dapat meneruskan kerjayanya demi mencari rezeki buat dirinya dan tiga orang cucu Dhia Farhana,17, Mhia Farhana,14, Thia Farhana, 8, serta menantu, Farah Ahmad,43 tahun.

Ketiga-tiga cucunya menjadi anak yatim setelah ayah mereka, Mohd. Firdaus Mohd. Hanif atau dikenali sebagai Pitt, yang baru selesai mengarah filem “Coast Guard” lemas di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober tahun lalu.

Kemalangan itu berlaku apabila bot yang dinaikki Pitt bersama kawannya dibawa arus dan terlanggar tiang jembatan dan terbelah dua. Mayatnya ditemui pada 27 Oktober.

“Alhamdulillah rezeki saya dan tiga cucu serta menantu tidak berhenti apabila kerajaan membenarkan penggambaran drama dengan mematuhi SOP, saya mendapat tawaran berlakon berterusan,” cerita Fauziah Nawi.

Fauziah Nawi meneruskan penggambaran di lokasi drama arahan Rashid Sibir “Bidadari Kiriman Tuhan” selama empat hari apabila kerajaan membenarkan penggambaran drama dan filem melalui PKPP bermula 10 Jun lalu.

KELUARGA Mommy Oja dilakonkan oleh dari kiri: Ali Puteh, Azhan Rani, Tasha Shila, Tengku Shatirah Amanda dan Shikin Kamal.

Selesai sahaja penggambaran drama berkenaan, Fauziah Nawi ke lokasi penggambaran drama 26 episod “Mummy Oja” terbitan TV Awesome.

Drama 30 minit arahan Wan Shaiful Shahrizan itu meletakkan Fauziah Nawi sebagai pelakon utama Seroja Badriah atau Mummy Oja yang berdepan dengan pelbagai ragam empat orang anaknya lakonan Azhan Rani, Ali Puteh, Shikin Kamal, Tengku Shatirah Amanda dan menantu, Tasha Shila serta dua orang cucu.

Mummy Oja adalah seorang ibu yang penyayang, bergaya tetapi rimas berdepan dengan ragam anak-anaknya Anaqi, Aneesa, Anwar dan Anita serta menantu Jannah yang sentiasa ingin mengawal kehidupannya demi memastikan kebahagiaan hidup Mommy Oja.

“Saya seronok berlakon drama komedi ini kerana dalam tawa ia banyak memberi pengajaran kepada kita.

“Tiga puluh tiga hari saya di lokasi penggambaran drama ini dan suasana sekeliling yang harmoni membuatkan kami bagaikan sebuah keluarga,” kata Fauziah.

Sementara itu, mulai 26 Ogos selama enam hari, Fauziah Nawi akan menjalani penggambaran filem “Small Town Heroes.” Filem yang menggunakan bahasa Mandarin, Melayu, Inggeris, Hokkien dan Kantonis akan diarahkan oleh Ryon Lee dan diterbitkan oleh Sunstrong Entertainment dan Lomo Pictures.

Selain itu, Fauziah Nawi bersama Sabri Yunus dilantik setahun sebagai Duta produk Soulmate Mixed Honey. Produk kesihatan milik pelakon yang juga pasangam suami isteri Airel Zafrel dan Wawa Zainal berasaskan madu dan habatussauda.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here