Covid-19: Sikap penyokong Najib, polis mengecewakan

    0
    1078
    FOTO: NSTP.

    KUALA LUMPUR – Tindakan orang awam terutamanya penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan koronavirus (Covid-19) tidak sepatutnya berlaku.

    Segala-galanya bukanlah spontan tetapi kebanyakan mereka didatangkan khas untuk memberikan sokongan dan juga mahu mengetahui tentang nasib bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Tidak salah untuk hadir berramai-ramai di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan tetapi biarlah ada sikap yang bertanggungjawab ketika negara dilanda kebimbangan berlakunya gelombang kedua Covid-19.

    Pihak polis perlu lebih tegas dan apakah mereka yang melanggar peraturan tersebut akan terlepas bebas.

    Tidak seharusnya ada ‘double standard’ dalam pelaksanaan undang-undang. Apatah lagi, sebelum ini, rakyat biasa telahpun dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal untuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.

    Selain penyokong, penganjur rombongan berkenaan juga patut dikenakan hukuman.
    Pihak polis juga patut dipersalah. Meskipun pihak berkuasa itu telah memberikan arahan kepada orang ramai supaya mematuhi SOP, mereka sepatutnya telah dapat menjangkakan apa yang mungkin berlaku dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

    Lebih-lebih lagi, hari ini merupakan pengumuman keputusan penghakiman terhadap Najib yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM42 juta.

    – BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here