Piala AFF 2020 mungkin ditunda ke 2021

0
568
PIALA AFF hanya pernah sekali menjadi milik Harimau Malaya pada 2010. - Foto AFF

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KEJOHANAN bola sepak dwitahunan Asia Tenggara, Piala AFF 2020 berkemungkinan besar terpaksa ditunda gara-gara penularan pandemik maut Covid-19 yang belum reda mahupun terkawal.

Kejohanan untuk pasukan senior kebangsaan rantau itu dan diasaskan pada 1996, dijadualkan memasuki edisinya yang ke-13 pada 23 November hingga 31 Disember 2020.

Semalam, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Darurat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengenal pasti dan menjangkakan Covid-19 mampu berterusan sehingga akhir tahun ini.

Laman sosial ASEAN Football melaporkan, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden AFF, Khiev Sameth dari Kemboja telah diadakan secara atas talian dengan wakil-wakil negara anggota persekutuan.

“Pada mesyuarat itu berhubung perkembangan terkini dan penilaian situasi Covid-19 di Asia Tenggara, negara-negara anggota jawatankuasa itu telah membincangkan dan mengenal pasti pandemik itu akan berterusan sehingga akhir tahun ini.

TAN Cheng Hoe kini cuba menyiapkan Harimau Malaya terlebih dulu menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Oktober ini.

“Justeru rancangan untuk menganjurkan Piala AFF 2020 mungkin tidak dapat dijamin dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” lapor laman itu yang turut membayangkan kemungkinan kejohanan itu ditunda ke tahun depan.

Piala AFF yang turut pernah bergelar Piala Tiger dan Kejohanan AFF, menggantikan saingan peringkat senior rantau ini dalam Sukan SEA yang dihadkan penyertaannya kepada pemain berusia bawah 23 tahun mulai 2001.

Mulai edisi ke-12 pada 2018, format pertandingan karnivalnya dengan dua tuan rumah peringkat awal juga ditukar kepada setiap pasukan akan mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi di tempat lawan namun masih dalam liga berkumpulan.

SKUAD Harimau Malaya naib juara Piala AFF 2018. – Foto AFF

Format timbal balik ini juga terpakai pada perlawanan separuh akhir dan akhir.

Pada 16 Jun lalu, mesyuarat Majlis AFF secara atas talian masih enggan berganjak dengan tarikh penganjuran Piala AFF 2020 itu di tengah-tengah angka kes dan kematian mangsa Covid-19 yang kian meningkat dan vaksin penawar yang belum ditemui.

Undian rasmi peringkat kumpulan Piala AFF 2020 juga sepatutnya dijalankan pada Ogos ini di Vietnam.

Harimau Malaya hanya pernah menjuarainya pada 2010 selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dua tahun lalu, skuad Tan Cheng Hoe dihampakan Vietnam 3-2 (terikat 2-2 di Bukit Jalil namun tewas 1-0 di Stadium My Dinh, Hanoi) untuk sekadar bergelar naib juara.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here