Tukar kain kiswah Kaabah antara program TV AlHijrah

0
536
Filem arahan Mawi, Tiada Tajuk turut disiarkan sempena raya Aidiladha ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

RAMAI yang pernah melihat Kain Kiswah namun tidak ramai yang tahu perincian kain penutup Kaabah ini serta bagaimana proses pertukaran kain kelambu Kaabah ini berlangsung saban tahun pada hari Arafah.

Mahu berkongsi ilmu, TV AlHijrah membawa penonton untuk sama-sama menyaksikan proses pertukaran Kain Kiswah Kaabah ini secara langsung pada pukul 10 pagi, 30 Julai ini.

Turut diselitkan sepanjang siaran langsung ini adalah sejarah pembuatan dan kisah pertukaran Kain Kiswah pada zaman sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehinggalah teknologi yang diguna pakai untuk menyiapkannya.

Pertukaran Kain Kiswah itu adalah di antara program menarik yang akan disiarkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini yang mengetengahkan tema Pengorbanan Suci.

Selain siaran langsung pertukaran Kain Kiswah, program menarik lain yang bakal disiarkan adalah Kapsul Tabung Abah, Bual Bicara Baitullah Rindu Yang Tertangguh, Dokumentari Mencari Mabrur, Tabung Abah, Filem Tiada Tajuk, Filem Lima Penjuru Masjid, Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha dan E-Kaunter Netizen: Syamsul Debat Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, kesemua rancangan istimewa Aidiladha memaparkan kesungguhan, ketaatan, kesederhanaan, pengorbanan dan kesyukuran hamba yang menagih kasih sayang dan keberkatan Ilahi dalam perjalanan menjadi Khalifah terbaik di muka bumi Allah.

Tambahnya, AIidiladha cukup sinonim dengan kisah pengorbanan. Paling melekat di ingatan umat Islam sudah semestinya kisah keteguhan hati Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang dinukilkan di dalam al-Quran.
Katanya, kisah berkenaan memberi teladan yang sangat besar buat seluruh umat manusia. Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala tetapi ia adalah suntikan semangat yang memperingatkan umat manusia untuk terus melakukan pengorbanan yang baik dalam kehidupan seharian.

Drama terbitan produksi TV AlHijrah turut disiarkan.

“Jika pada tahun-tahun lepas, kru TV AlHijrah akan ke tanah suci Makkah seawal satu bulan sebelum wukuf untuk membuat liputan secara langsung persiapan serta pelaksanaan ibadah haji buat tatapan penonton di Malaysia, namun tahun ini semuanya berubah.

“Walaubagaimanapun, TV AlHijrah akan terus menceriakan serta memberi nilai tambah dalam sambutan Aidiladha tahun ini dengan menyiarkan pelbagai rancangan-rancangan istimewa dan terbaik buat penonton semua,” katanya penuh yakin.

Tambah Namanzee, TV AlHijrah juga turut bekerjasama dengan Kementerian Media Arab Saudi. Menerusi kerjasama ini, pihak kementerian telah bersetuju untuk berkongsi maklumat terkini perjalanan ibadah haji yang hanya dihadkan kepada 10,000 jemaah sahaja.

Selain itu, katanya, mereka turut berkongsi langkah-langkah keselamatan yang akan diambil dalam memastikan semua jemaah selamat dan bebas Covid-19.

“Informasi ini akan dikongsi menerusi siaran Berita AlHijrah secara langsung setiap hari pada pukul 8 malam dan juga melalui portal berita alhijrahnews.com.

“Kami menaruh harapan agar penonton semua terus bersama TV AlHijrah Aidiladha ini bagi menyaksikan pilihan rancangan-rancangan yang kami sajikan. Moga semua beroleh manfaat dan reda Ilahi.” ujarnya.

Lain-lain rancangan istimewa adalah MY #QuranTime, Berita AlHijrah. Nasa’i Jiwa, Bazaar, Jom!, Kapsul Tarikh Al-Islam, Assalamualaikum dan banyak lagi.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here