MPOB cipta sistem pengesan automatik pertama dunia untuk kesan ulat bungkus

0
262

KUALA LUMPUR — Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mencipta satu sistem pengesan automatik pertama di dunia bagi mengesan spesies ulat bungkus “Metisa plana”, salah satu spesies utama serangga pemakan daun pokok sawit.

MPOB berkata serangan ulat bungkus sederhana boleh mengakibatkan kehilangan hasil sawit sehingga 43 peratus.

“Berdasarkan data MPOB pada tahun 2016, kerugian ekonomi kepada penanam sawit akibat serangan ulat bungkus adalah sekitar RM24 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah adalah menjadi kesalahan sekiranya ulat bungkus tidak dikawal dan pemilik ladang boleh diambil tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

“Teknologi ciptaan penyelidik MPOB ini yang diketuai oleh Mohd Najib Ahmad, dikenali sebagai Alat Pengesan Automatik Ulat Bungkus atau ringkasnya Oto-BaC.

“Ia menggunakan kamera dan algoritma pembelajaran mendalam yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik itu, yang terdiri daripada pengesan pergerakan dan analisis warna palsu untuk mengesan dan membezakan larva dan pupa ulat bungkus yang hidup dan mati,” katanya.

Oto-BaC juga dapat menghitung jumlah larva dan populasi pupa sepelepah, serta mengklasifikasikan mereka kepada tahap larva dan pupa.

Pembangunan inovasi ulung dalam industri sawit dapat menyediakan pengumpulan data masa nyata yang tepat dan sistem yang mesra pengguna untuk mengesan dan mengira ulat bungkus pada daun sawit.

Penggunaan alat ini dapat meminimumkan kesilapan manusia dalam pembancian dan meningkatkan amalan pertanian yang baik.

MPOB berkata dengan mengintegrasikan teknik penglihatan mesin dan algoritma pemprosesan gambar, alat ini dapat digunakan secara berkesan oleh penanam sawit untuk memantau populasi ulat bungkus di ladang.

“Penggunaan teknologi Oto-BaC juga dapat diperluas kepada serangga perosak lain di ladang sawit. Oto-BaC TM sangat penting kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada penanam dari segi perlindungan tanaman sawit,” katanya.

Dengan menggunakan Oto-BaC, tindakan kawalan dapat dirancang dan tahap larva yang tepat dapat dikesan, sekali gus dapat mengurangkan kos penggunaan racun perosak bagi ladang sawit.

Selain itu, alat ini dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan meminimumkan masa yang untuk bancian ulat bungkus.

Oto-BaC dilancarkan baru-baru ini semasa Seminar Pemindahan Teknologi MPOB 2020 dan telah memenangi Pingat Perak di Ekspo Teknologi Malaysia 2020.

“Penggiat industri dan usahawan digalakkan untuk mengkomersialkan Oto-BaC bagi kawalan ulat bungkus di ladang sawit,” tambah MPOB.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here