4 terbuka dibatal, Piala Thomas-Uber mungkin senasib

0
391

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

EMPAT kejohanan terbuka dalam kalendar pertandingan sepanjang September 2020 terpaksa dibatalkan gara-gara kebimbangan kepada pandemik maut Covid-19 sekali gus membayangkan Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan Oktober ini, bakal dirundung nasib serupa.

Pembatalan Terbuka Taiwan dari 1 hingga 6 September, Terbuka Korea Selatan (8-13 September), Terbuka China (15-20 September) dan Terbuka Jepun (22-27 September) diumumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada laman sesawang rasminya hari ini.

Bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1,000, Terbuka China yang sepatutnya berlangsung di Changzhou merupakan kejohanan termahal antara keempat-empat itu dengan hadiah kemenangannya yang bernilai AS$1,100,000 (RM4,668,075).

Piala Thomas dan Uber, kejohanan berpasukan lelaki dan wanita terulung dunia bakal memasuki edisi yang ke-28 pada 3 hingga 11 Oktober ini di Arena Ceres, Aarhus, Denmark.

Sebelum menundanya ke tarikh baharu tersebut, BWF pernah meminda jadual asalnya buat kali pertama dari 16 hingga 24 Mei ke 15 hingga 23 Ogos.

Siaran media BWF yang memetik Setiausaha Agungnya, Thomas Lund berkata: “Pembatalannya dibuat selepas berunding dengan tuan rumah terbuka berkenaan.

“(Tindakan ini) dibuat atas kepentingan terbaik kesihatan pemain-pemain, penonton-penonton, sukarelawan-sukarelawan dan persatuan-persatuan negara anggota (BWF).

“Kami amat kecewa kerana membatalkan kejohanan-kejohanan ini tetapi berasa bahawa kesejahteraan setiap orang yang terlibat, amat penting ketika ini.”

Lund menambah, “saya mahu mengakui usaha-usaha penting yang dilakukan oleh persatuan-persatuan negara anggota dalam benua itu (Asia) sepanjang proses ini atas kesabaran dan kesetiaan mereka kepada BWF.

“Kami berkongsi kekecewaan ramai di seluruh dunia yang menanti-nantikan kepulangan badminton dan menghargai semua sokongan berterusan daripada peminat-peminat dan rakan kongsi kami sambil kami terus menangani baki saingan musim 2020.

THOMAS Lund (kiri). – Foto FB BWF

“BWF akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan untuk memastikan sebarang kegiatan badminton 100 peratus mematuhi peraturan-peraturan dan pengawalan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan dan sekatan perjalanan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Ekoran pengumuman ini, BWF dan rakan kongsinya memantau dengan rapat dan berpegang teguh kepada semua garis panduan kerajaan mengenai kejohanan-kejohanan akan datang.

Pengemaskinian baki kejohanan bagi musim 2020, akan dibuat bila tiba masanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here