Sama-sama berkorban #kita jaga kita#

0
560
FOTO: Aziz A, Shariff

Oleh Ahmad Abd Hamid

SEMPENA sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat, 31 Julai ini, kerajaan memutuskan tidak menguatkuasakan semula sekatan rentas sempadan biarpun negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Orang ramai dibenarkan balik ke kampung halaman meraikan sambutannya bersama-sama keluarga.

Bukan sedikit yang pulang ke kampung, terutama di negeri di mana Hari Raya Haji disambut besar-besaran seperti Kelantan. Ini juga menjadi hari raya balas dendam selepas tidak berpeluang berbuat demikian pada Hari Raya Aidilfitri lalu kerana rentas sempadan tidak dibenarkan.

Namun begitu, kegembiraan menyambut Aidiladha tidak seharusnya menyebabkan semua lali dan alpa sehingga mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Justeru ingat jangan sampai diri sendiri dan keluarga menjadi mangsa.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kita beraya dalam sesalan apabila dikenakan kompaun RM1,000.

Kita pulang untuk bergembira bersama keluarga, jadi biarlah ia tetap seperti itu. Janganlah juga pulang untuk menularkan wabak penyakit kepada mereka dan jangan juga mendedahkan diri kepada jangkitan wabak.

Prinsip asas yang perlu diamalkan ialah jaga diri sendiri dan jaga diri mereka yang kita kasihi. Jangan sampai menjadi mangsa Covid-19 yang tidak mengenal belas kasihan. Kuatkan pertahanan diri untuk menangkis serangan virus pembunuh itu dengan mengambil segala langkah pencegahan perlu seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Ketika melaksanakan ibadah korban, pastikan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dipatuhi. Had maksimum lembu yang dibenarkan disembelih di masjid atau surau ialah 10 ekor, bergantung kepada keluasan kawasan. Jika kawasan masjid atau surau hanya boleh menampung penyembelihan lima ekor lembu misalnya, maka sejumlah itu sahaja dibenarkan.

Jangan dilupa, hanya 20 orang dibenarkan menguruskan setiap seekor lembu termasuk kerja-kerja melapah dan memotong daging. Makan minum untuk pekerja dibenarkan tetapi hanya makanan siap bungkus. Tiada masak memasak, kenduri atau jamuan dibenarkan di tempat penyembelihan seperti kebiasaan sebelum ini. Peraturan ini adalah terpakai di Wilayah Persekutuan sementara di negeri- negeri lain terpulang kepada jabatan agama Islam masing-masing.

Malah di Wilayah Persekutuan penyembelihan korban digalakkan dilakukan di rumah-rumah sembelih kerajaan atau swasta untuk lebih memudahkan urusan. Bagaimana pun ini hanyalah alternatif. Tetapi ingat, penyembelihan hanya boleh dilakukan dalam tempuh empat hari iaitu pada hari raya dan tiga hari berikutnya.

Oleh sebab hari raya jatuh pada Jumaat di mana orang ramai sibuk dengan solat sunat Aidiladha diikuti solat Jumaat, mungkin tidak banyak penyembelihan dilakukan pada hari raya. Maka tiga hari berikutnya bakal sibuk dengan aktiviti korban.

Bagi mereka yang mengadakan jamuan di rumah, perlu diingat hanya 20 orang tetamu, termasuk saudara mara sendiri, dibenarkan berada di dalam rumah pada satu-satu masa. Patuhi peraturan ini di samping mengamalkan penjarakan sosial. Ingat pasukan keselamatan sentiasa memantau gerak geri semua. Sebarang pelanggaran SOP akan mengakibatkan tindakan diambil.

Dalam meraikan Aidiladha, amalkan penjagaan diri pada tahap maksimum untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Sama-samalah saling ingat mengingati demi kebaikan dan kesejahteraan bersama, juga negara. InsyaAllah jika kita komited bekerjasama, mematuhi SOP, dan dengan pertolongan Allah, kita bakal menang dalam perang melawan kita bakal menang dalam perang melawan Covid-19.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here