PRU-15 semakin hampir?

0
719
FOTO: NSTP.

BENARKAH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir? Pastinya ramai yang sudah mulai menanti-nantikannya, bukan hanya dalam kalangan pemimpin parti politik tetapi juga rakyat jelata.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan tanggungjawabnya sebaik sahaja pembubaran Parlimen dilakukan Perdana Menteri kelak selepas mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Fakta tentang semakin dekat kehadiran PRU-15 jelas apabila diukur kepada berlalunya PRU-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018 dan sekarang kita sudah hampir kepada bulan Ogos 2020.

Umum mengetahui, kelazimannya tempoh penggal berkuasa sesebuah kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ialah selama lima tahun, maka usia PRU-14 untuk ke PRU-15 tinggal lebih kurang 24 bulan sahaja lagi untuk membolehkan PRU baharu diadakan pada 2022 atau selewat-lewatnya 2023.

Namun sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, PRU awal atau mengejut boleh berlaku mengikut pertimbangan kerajaan memerintah terhadap keyakinannya mendapat sokongan yang dianggapnya selesa.

Meskipun negara masih dilanda dengan wabak seperti Covid-19 yang melanda dunia sejak akhir 2019, ia bukan penghalang untuk mengadakan PRU.

Bahkan, negara jiran terdekat iaitu Republik Singapura telah berjaya mengadakan PRU pada Julai 2020 lalu ketika dilanda wabak tersebut.

Paling ketara tentang jangkaan kedatangan PRU-15, boleh dilihat melalui kenyataan pemimpin kerajaan dan pembangkang tentang persediaan jentera pilihan raya dan juga pemilihan calon-calon yang layak bertanding.

Tempoh 24 bulan sebenarnya amat singkat bagi parti politik untuk membuat persiapan menuju PRU-15 lantaran parti kerajaan atau pembangkang berdepan konflik dalaman masing-masing terutamanya dalam hal melibatkan pengagihan kerusi dan menangani isu tuntutan bertindih bagi kerusi yang hendak mereka tandingi.

Berdasarkan keadaan sekarang, kerajaan berkuasa iaitu Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama komponennya Muafakat Nasional (MN) kerjasama UMNO dan Pas serta parti lain anggota Barisan Nasional (BN), di samping parti dari Sabah dan Sarawak yang menganggotai atau sekadar mesra PN itu terus menghadapi provokasi pelbagai pihak.

Meskipun Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, tetapi kerusi Ahli Parlimen Bersatu dalam PN adalah cuma sedikit, berbanding UMNO dan Pas (MN) yang majoriti, maka usaha untuk menjaga kesepakatan perlu dilakukan dengan penuh diplomasi.

Tidak menghairankan apabila terdapat beberapa pemimpin atasan UMNO yang menyarankan agar pintu dibuka untuk Muhyiddin supaya kembali ke pangkuan UMNO bagi mengukuhkan parti itu, selain mengelakkan perpecahan dalam PN memandangkan keanggotaan pemimpin Bersatu hanya sedikit dalam komponen tersebut.

Tambahan pula, Bersatu sudah berpecah dua iaitu satu pihak menjadi pengikut Muhyiddin dalam kerajaan PN dan selebihnya kepada pengikut Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa telah dipecat daripada partinya sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu juga membayangkan akan menubuhkan parti politik baharu untuk menghadapi PRU-15 jika gagal mempertahankan usaha untuk kekal sebagai ahli atau pemimpin Bersatu menerusi proses perundangan terhadap kesahihan kedudukannya.
Seandainya berulang sejarah bekas pemimpin tinggi UMNO seperti Muhyiddin yang menganggotai parti lain (Bersatu) kembali ke pangkuan UMNO, ia bukan perkara pelik kerana Tengku Razaleigh Hamzah dahulu pun pernah memimpin Parti Melayu Semangat 46 (S-46) sebelum menyertai semula UMNO dalam tahun 1990-an atas alasannya yang tersendiri.

Berbeza dengan Tengku Razaleigh yang keluar UMNO dan menubuhkan S-46 itu kerana krisisnya dengan Dr. Mahathir, manakala Muhyiddin pula bukan keluar parti, tetapi dipecat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO sebelum PRU-14 tahun 2018 kerana mempertikaikan tentang 1MDB.

Muhyiddin ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Berikutan keputusan mahkamah pada 28 Julai 2020 lalu, Najib mungkin tidak kembali dapat berkuasa selepas PRU-15 apabila beliau telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd.Nazlan Mohd. Ghazali kerana didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) berjumlah RM42 juta, di samping banyak kes lain yang turut menunggu.

Pastinya PRU-15 bakal menampilkan banyak kejutan baharu.

Malah Sabah mendahului negeri lain untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 30 Julai 2020.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here