Tidak tumbang tetapi bubar

0
774
FOTO: NSTP.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar. Satu keputusan yang pada ketika ini dapat menamatkan ‘rebutan kuasa’ antara Mohd Shafie Apdal sebagai penyandang jawatan Ketua Menteri dan bekas Ketua Menteri, Musa Aman setelah kedua-dua pihak mendakwa mempunyai majoriti.

Mohd Shafie dilihat mahu mempertahankan kerajaan negeri pimpinannya melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Musa pula menawarkan pilihan baharu setelah dua tahun Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah.

Adakah kemelut politik ini akan berakhir dengan pembubaran DUN? Adakah dengan mengembalikan kuasa undi kepada rakyat kemelut Sabah akan berakhir? Tidak seperti negeri lain yang ‘tumbang’ akibat majoriti kecil di DUN, Sabah dilihat kukuh.

Bagaimanapun di Sabah, sejak awal lagi iaitu selepas pilihan raya umum, sudah berlaku ‘perebutan’, masing-masing mendakwa menang.

Mungkin puncanya apabila parti utama gagal memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi dan terpaksa menagih kerusi parti lain. Tawar menawar beginilah yang dilihat menjadi punca kerajaan negeri tidak stabil.

Shafie sebelum ini sering kali berkata kerajaan negeri pimpinannya tidak akan tumbang disebabkan majoriti yang ada. Namun ‘permainan politik’ sukar diramal. Lompat melompat dan tawar menawar seperti menjadi lumrah khususnya di Sabah.

DUN Sabah ketika ini mempunyai 65 kerusi termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa ialah 33 kerusi. Sebelum perkembangan terbaharu ini, blok kerajaan pimpinan Shafie mempunyai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (6), UPKO (2), PKR (2) dan ADUN dilantik (4), sementara blok pembangkang pula merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Bebas (2), UMNO (1) dan ADUN dilantik (1).

Pembubaran ini mungkin lebih memihak kepada Shafie kerana secara tidak langsung beliau akan berusaha mendapatkan mandat yang lebih kukuh selepas dua tahun memerintah Sabah.

Bagi Shafie juga, beliau sudah tahu siapa yang ‘berpaling tadah’ dan ‘tidak boleh diharap’ bagi memudahkannya menyusun strategi. Beliau mungkin lebih bijak membuat percaturan politik, lebih pantas mematikan gerak langkah musuhnya.

Katanya: “Apa pun cerita mereka mahu pergi istana, mahu angkat (sumpah) sana angkat sini, Dewan sudah dibubarkan,”

Dan yang penting, beliau masih sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga PRN dengan jenama Warisan sedangkan parti lain khususnya UMNO yang ‘ditinggalkan’ selepas pilihan raya umum lalu tetapi masih mampu bangkit seperti dibuktikan di Kimanis.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here