Super Rings Najib memakan diri

    0
    976

    Oleh HASMI HASHIM

    SELEPAS keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan Najib Razak bersalah, ramai orang memuat naik gambar sedang kunyah makanan ringan jenama, Super Rings. Jenis jajan itu beberapa kali dimuat naik oleh Najib sebelum ini, yang bertujuan untuk mengejek lawan-lawan politiknya.

    Sekarang giliran Najib di-Super-Rings-kan! Dalam bahasa gaul anak-anak warganet, disebut “troll”.

    Kita tahu, troll juga sudah menjadi senjata politik – termasuk senjata politik orang yang bersalah, tapi tidak punya hujah yang waras untuk mempertahankan diri.

    Cara troll banyak digunakan Najib, terutama untuk mencari populariti selepas dia dan partinya kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Troll sebenarnya tidak lain adalah perbuatan menganjing, meski di dalam Kamus Dewan diertikan sebagai “mengail tunda”. Kalau kita menyebutkan kata mengail tunda, tidak akan ada sesiapa rasanya yang faham. Apa yang kita faham ialah troll atau menganjing itu tadi.

    Selain seakan-akan menyorokkan isterinya, Rosmah Mansor daripada pandangan awam, strategi troll juga sempat menjadikan Najib kembali popular. Saking popularnya sehingga Najib sempat disebut sebagai “raja troll”.

    Mungkin Najib – atau pasukan medianya – sedar bahawa imej Rosmah sudah sangat rosak di mata masyarakat. Ada pendapat menyatakan, antara punca Umno kalah ialah kerana imej Rosmah yang terlalu besar sebelum ini. Sekala Najib menjadi PM, Rosmah selalu ke mana-mana sampai selalu diliput media. Kita akan boleh menonton Rosmah setiap hari di kaca TV.

    Troll kini adalah jalan lain untuk Najib membuat “come back” atau dalam ungkapan beliau, “untuk membersihkan nama saya”. Jajan Super Rings boleh difahami sebagai membayangkan betapa Najib kekal tenang.

    POLITIK MEMBINA PERSEPSI

    Dengan yang demikian, wujudlah persepsi dia tidak bersalah dan jujur.

    Persepsi berkenaan sangat penting bagi menutup sekian banyak kes yang sedang dihadapinya di mahkamah. Ketika proses perbicaraan, orang tidak begitu peduli. Orang hanya menjadi peduli ketika sampai tarikh keputusan mahkamah. Sepanjang proses pembicaraan, Najib kekal buat biasa-biasa saja dengan troll menganjing lawan-lawan politiknya.

    Troll nampaknya tidak ubah seperti apa yang kini kenal sebagai “hipster”. Keduanya tidak lebih cara menayang-nayang keranggian di media sosial. Keduanya tidak mempunyai pengisian (substantive) yang berguna.

    Oleh itu, keduanya tidak juga membawa kebaikan apa-apa kepada bangsa – bahkan wajar tidak digunakan pun oleh ahli politik yang serius dan bermaruah.

    Persoalan negara dan bangsa bukanlah persoalan main-main atau asalkan dapat “like” di media sosial untuk menjadi glamor.

    Kita boleh membandingkan cara politik menganjing, troll atau hipster itu tadi, dengan politiknya orang dulu-dulu. Termasuk dalam kalangan para pejuang kemerdekaan.

    Baik di Tanah Melayu, Indonesia, India, Pakistan dan banyak wilayah lain, para politikus dan pejuang kemerdekaan meniti hidup mereka dengan isu, persoalan dan pemikiran yang serius. Sama ada Gandhi, Nehru, Soekarno, Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar atau sesiapa saja, tidak ada yang menayang gambar, misalnya sambil makan kuaci untuk menganjing musuh mereka.

    Bahkan hampir kesemua mereka lebih menumpukan kerja tulis menulis untuk membangkitkan kesedaran bangsa. Apakah tulisan dan buku para politikus kita hari ini? Apakah buku pemikiran oleh Najib, misalnya? Tidak ada!

    Dalam tradisi politik dunia, mewujudkan cerita-cerita jenaka jauh lebih bermaruah. Misalnya oleh Presiden Indonesia ke-4 Abdulrahman Wahid yang terkenal mempunyai kisah-kisah lelucon. Merendah-rendahkan lawan politik dengan cara troll, tidak sekali-kali.

    Kekuatan Abdulrahman, atau yang dikenali sebagai Gus Dur itu – bahkan ramai politikus yang bertaraf negarawan ialah – dengan tidak memperlekeh atau mengecilkan musuh politik. Musuh politik tetap perlu ditandingi dengan cara terhormat dan mulia. Bukan troll.

    Troll itu kampungan. Rendah adab. Jengkel.

    Sebagai contoh, dalam satu ucapan di hadapan media antarabangsa, Gus Dur pernah berkata bahawa dia dan wakilnya, Megawati Seokarno Putri adalah duo kepemimpinan Indonesia yang cocok. Cocok kerana apa? Kerana sementara dia tidak boleh melihat, Mega pula tidak bercakap.

    Ucapan Gus Dur membuatkan seluruh orang yang mendengarkannya terburai ketawa.

    Dalam jenaka itu, Gus Dur nampaknya lebih mencerung mentertawakan dirinya sendiri – kerana dia buta. Bahkan Mega yang dikatakan “tidak bercakap” itu pun terbahak mendengar jenakanya Gus Dur.

    Sesiapa pun boleh terasa, Najib kini ada personaliti. Najib di media sosial yang cool, berbeza sama sekali dengan Najib sebenar yang tidak cool sama sekali. Bahkan ucapannya juga membosankan.

    Di sini, gaya troll oleh Najib – bahkan beberapa pemimpin politik lainnya – adalah bermatlamat untuk mempengaruhi masyarakat memperlekeh musuh politik masing-masing.

    Lekehan itu pula tidak dengan hujah atau fakta, tetapi dengan perbuatan rendah budi iaitu troll, menganjing atau hanya ejek-ejekan kosong seperti budak kecil yang kurang mendapat perhatian.

    Agak pelik, tidak kurangnya masyarakat kita menerima gaya politik troll – dan juga politik hipster – tanpa fikir panjang, tanpa cita rasa. Bahkan dianggap gaya itu sebagai cool, atau ranggi. Bekas PM dua kali, Dr Mahathir Mohamad juga ada kalanya terikut-ikut gaya politik begitu.

    Kuat betul terasa ada yang tidak kena di sana – dalam otak politikus, dan dalam diri bangsa ini.

    [Esei ini pertama kali terbit di The Malaysian Insight pada 30 Julai, 2020].

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here