Pakailah sebelum ‘pokai’

0
836

BERAPA harga setiap satu unit atau sekeping pelitup muka? Adakah sama harga dengan secawan teh tarik, sekeping roti canai atau sebatang rokok? Sebelum ini, semasa peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menang sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Harganya pula boleh tahan, RM1.50 sen setiap satu.

Minggu lepas, ketika mendapatkannya di sebuah farmasi, harganya sudah turun. Alhamdulillah boleh dapat sekotak yang mengandungi 50 unit/keping pada harga lebih kurang RM50. Maknanya sekeping RM1. Lebih murah berbanding secawan teh tarik, sekeping roti canai, sebatang rokok atau nasi lemak siap bungkus.

Kenapa saya asyik bandingkan harga pelitup muka ini dengan teh tarik, roti canai, rokok atau nasi lemak?

Mungkin anda tahu sebabnya. Sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula. Tujuannya untuk mereka (peminat tegar roti canai, teh tarik, rokok) yang terlalu berkira bercakap mengenai harga untuk memakai pelitup muka. Benar tidak semua begitu, ini sekadar contoh dan perbandingan kecil.

Mungkin ramai lagi yang akan mencari alasan untuk mengelak daripada pemakaian pelitup muka ini. Ada sahaja alasan sedangkan mereka ini mampu membeli atau berbelanja untuk keperluan lain. Bak kata orang, lembu seekor sanggup beli tetapi tidak mampu membeli seutas tali untuk mengikat lembu.

Apa yang lebih penting adalah merujuk kesan kekerapan ‘penggunaan’ kedua-dua keperluan itu terhadap kesihatan. Makan dan minum mengenyangkan tetapi pelitup muka pakai buang.

Cuba bandingkan kesan kesihatan kekerapan mengambil roti canai, teh tarik, rokok berbanding kesan memakai pelitup muka di tempat awam ketika dunia sedang melawan penularan wabak Covid-19? Mana lebih penting?

Menyelak kembali tiga bulan PKP, ramai yang mampu bertahan tidak dapat lepak di restoran mamak. Kini restoran beroperasi seperti biasa. Justeru ketika berkunjung pakailah pelitup muka. Jadikan SOP. Malangnya ada juga pemilik restoran yang tidak ambil berat terhadap pekerjanya.

Ada pekerja tidak memakai pelitup muka ketika menebar roti canai, membuat teh tarik dan ketika mengambil pesanan pelanggan.

Diharapkan berikutan penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemilik restoran dapat memberi perhatian terhadap SOP yang semakin ‘dilonggarkan’ oleh mereka sama ada secara sedar atau tidak. Ingat SOP tetap SOP, tiada kompromi.

Sebagai satu peringatan mesra, mulai hari ini, 1 Ogos 2020, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum seperti pasar, pasar tani dan pasar raya serta stesen pengangkutan awam seperti LRT, MRT serta bas.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat keputusan itu baru-baru ini berikutan penambahan kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Ingat orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu. Jadi pakailah sebelum pokai.

Selain pelitup muka yang dijual di pasaran, orang ramai juga boleh memakai topeng muka yang dijahit sendiri tetapi perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Diharapkan peraturan itu tidak membebankan. Jangan ada pihak yang sengaja mahu mengaut keuntungan berikutan penguatkuasaan ini. Dalam soal penjagaan kesihatan ini, jangan ada dalam kalangan pembekal, pemborong atau peniaga mengambil kesempatan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, harga siling pelitup separuh muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 mulai 15 Ogos ini. Harga borong RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 pada tarikh sama.

Kerajaan akan terus mengkaji keperluan untuk menurunkan harga pelitup separuh muka dan memastikan bekalan mencukupi.

Pengguna juga harus memainkan peranan memantau harga jualan pelitup muka bagi mengelak mereka ditipu, selain mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa jika ada sebarang manipulasi atau pencatutan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here