Adakah RUU 355 bercanggah dengan Perlembagaan?

Oleh Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

Persoalan mengenai RUU 355 sekalai lagi dibangkikan dalam Dewan Rakyat pada 22 Julai 2020. Dalam soalan lisan oleh YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin) berkenaan status RUU 355, YB Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar ia tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi mengimbau kembali RUU 355 ini, cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) telah diusulkan oleh YB Dato’ Seri Haji Hadi Awang (Marang) di Persidangan Dewan Rakyat (DR) pada 26 Mei 2016 dengan mencadangkan hukuman yang mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati dan kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya. Pada 24 November 2016 YB Marang mengemukakan  pindaan kepada usul pertama yang dibuat pada 26 Mei 2016 dengan mencadangkan hukuman denda RM100 ribu, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali dan pindaan usul itu ditangguhkan. Pada 6 Mei 2017, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam oleh YB Marang dan diperjelaskan oleh YB Dato’ Haji Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul ini untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya. Sehingga kini RUU 355 masih belum dibahaskan.

Perlu dinyatakan bahawa tujuan RUU 355 dibuat ialah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad iaitu denda RM5 ribu sahaja, atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa yang lebih mengikut Syariah kecuali hukuman bunuh.

Dalam perbincangan akademik, cadangan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah banyak diperbahaskan dalam wacana, seminar dan tidak juga dalam penulisan. Sebagai contohnya, Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim semasa hayatnya telah menyuarakan perkara yang sama.

Apakah RUU 355 ini bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan? Bagi menjawab persoalan ini perlu kita meneliti peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa jenayah Islam yang begitu terhad, yang hanya meliputi enam kategori:

  • Kesalahan-kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat kepada suami;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung seks seperti zina, khalwat, sumbang dan melacur;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung minuman keras seperti menjual dan membeli arak;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung dengan aspek kerohanian sebagai seorang Islam seperti kegagalan menunaikan solat Jumaat bagi lelaki, keengganan membayar zakat dan fitrah, dan tidak menghormati bulan Ramadhan dengan tidak berpuasa;
  • Kesalahan-kesalahan berhubung pertukaran agama seperti tidak melaporkan dan mendaftar masuk atau keluar dari agama Islam; dan pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk dalam kategori di atas.

Bagi kesalahan-kesalahan jenayah umum yang lain seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh, peruntukan bagi kesiksaan boleh didapati di dalam Kanun Kesiksaan dan bidang kuasa mahkamah dianugerahkan kepada Mahkamah Sivil. Kesalahan-kesalahan ini telah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai I- Senarai Persekutuan.

Justeru itu, Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan kecuali Senarai Bersama. Ini dapat dilihat apabila berlaku pertikaian dalam kes liwat (sodomy). Ini kerana terdapat dua peruntukan bertindih dalam kesalahan liwat. Kesalahan liwat diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan dan Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Dalam membincangkan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia, ia mesti meliputi undang-undang hudud, qisas (termasuk di dalamnya diyat) dan ta’zir. Undang-undang jenayah Islam bukan sekadar hudud sahaja.

Dalam RUU 355 itu, cadangan untuk meningkatkan hukuman jenayah Syariah tidak boleh terkeluar dari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan sebahagian kesalahan yang terletak di bawah hukuman hudud dan qisas terdapat dalam Kanun Kesiksaan seperti membunuh, mencuri dan mencederakan tubuh badan, Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh,  potong tangan pencuri dan menghukum pesalah yang mencederakan tubub badan orang lain kerana ianya terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Dalam kesalahan hudud seperti zina bagi orang muhsan yang dihukum dengan hukuman rejam sehingga mati, Mahkamah Syariah tidak boleh melaksanakan hukuman ini kerana mengambil bidang kuasa Mahkamah Sivil. Maka Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman seratus kali sebatan sahaja yang dibenarkan ke atas penzina sama ada muhsan atau ghair muhsan sekiranya RUU 355 diluluskan. Malah Parlimen bagi Wilayah Persekutuan perlu meminda Akta Jenayah Syariah dan DUN bagi negeri-negeri perlu meminda Enakmen Jenayah Syariah bagi meningkatkan bidang kuasa yang diberi dalam Akta 355 setelah ia diluluskan di Parlimen.

Dalam konteks undang-undang jenayah Islam yang sedang terpakai di Malaysia, kebanyakan kesalahan hudud sudah termaktub dalam undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri. Cuma hukuman yang dikenakan adalah bersifat takzir kerana itu sahaja bidang kuasa yang diberikan dalam undang-undang. Dari segi beban pembuktian ia menggunapakai kriteria seperti dalam undang-undang hudud.

Melihat kepada keadaan semasa dan mengambil kira kekangan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Kesiksaan, politik semasa dan kemajmukan masyarakat di Malaysia, undang-undang jenayah Syariah hanya boleh dilaksanakan ke atas orang Islam dan di Mahkamah Syariah sahaja.

Bagi memungkinkan RUU 355 menjadi kenyataan, pindaan Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Kesiksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri-negeri yang melibatkan bidang kuasa persekutuan dan negeri perlu dihalusi.

Di samping bidang kuasa dalam perkara-perkara sivil, Parlimen melalui Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah Syariah hanya ke atas orang Islam dan hanya terhad kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengadakan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut.

Sesungguhnya hasrat RUU 355 adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah seluruh negara yang setelah sekian lama “dianakitirikan”.

RUU 355 tidak mengambil bidang kuasa Mahkamah Sivil mahupun hak orang bukan Islam. RUU 355 tidak memungkinkan undang-undang jenayah Syariah dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia masih tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Kesiksaan kecuali ia dipinda oleh Parlimen.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here