Piala AFF ditunda 2021, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagaimana?

0
107

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

‘BOLA’ kini pada kaki Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula!

Selepas Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan Piala AFF 2020 ditunda ke April 2021 ekoran penularan pesat semasa Covid-19 di rantau ini dan dunia, bolehkah Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 disambung semula Oktober ini?

AFC pada Jun lalu sudah pun menjadualkan semula kelayakan itu yang tertangguh supaya sejajar kalendar pertandingan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi Mac, Jun, September, Oktober dan November.

Harimau Malaya akan menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober, melayani Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil (13 Oktober) dan bertandang ke Thailand, 17 November ini dalam jadual kelayakan itu yang ditunda dari Mac dan Jun lalu gara-gara pandemik itu.

AFC turut telah meminda jadual Liga Juara Asia (ACL) 2020 ke Oktober ini termasuk melibatkan wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam baki saingan Kumpulan G.

‘Si Harimau Selatan’ turut diberikan kelebihan gelanggang sendiri apabila Johor Bahru dipilih venue berpusat kumpulan itu dan H Zon Timur ACL termasuk menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (23 Oktober), Vissel Kobe, Jepun (29 Oktober) dan Guangzhou Evergrande (1 November).

Skuad Bawah 19 Tahun negara juga bakal menyertai Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober yang diundi dalam Kumpulan D dengan Qatar, Tajikistan dan Yemen.

Ditanya AFC akan mengikut langkah AFF itu jika Covid-19 di Asia terus memburuk, “kami memantau situasinya setiap hari dan apabila sampai masanya, akan membuat keputusan selepas mendapat nasihat FIFA.

“(Setakat ini) kami telah mengadakan lima mesyuarat dan (ketika itu), Majlis FIFA telah mengesahkan tarikh-tarikh itu (kelayakan). Kini kami memantau,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John kepada BebasNews hari ini.

AFF dalam siaran media Khamis lalu, mengakui kesukarannya untuk melangsungkan Piala AFF Ke-13
seperti yang dirancang dari 23 November hingga 31 Disember ini.

“Pandemik ini terus membawa cabaran yang sangat besar kepada kesihatan, masyarakat dan ekonomi kita. Keutamaan AFF ialah keluarga bola sepak kita terus sihat dan selamat.

“Dengan risiko penularan Covid-19 masih tinggi, AFF mendapati kami dalam situasi yang tidak dapat melangsungkan Piala AFF 2020 dengan selamat,” kata Presidennya, Khiev Sameth.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here