Apa beza MN atau PN?

0
2530

Oleh Ir Mohd Zin Mohamed

APA bezanya Maufakat Nasional dan Perikatan Nasional? Yang akan berkongsi kuasa ialah orang yang sama. Yang tidak mahu berkongsi kuasa juga adalah orang yang sama.

Habis itu apa yang dimaksudkan apabila MN mengumumkan mahu keluar daripada PN?

Bagi saya senang sahaja. Itu namanya ego. Ego itu maknanya dia ingat dia hebat, dia besar, dia lebih baik daripada orang lain. Itulah istilah marhain yang boleh saya tafsirkan.

Lebih menarik lagi, keputusan itu dibuat sehari selepas Najib Tun Razak dijatuhi hukuman. Apa erti semua itu? Adakah UMNO mahu menggertak kerajaan pimpinan PN? “Gertakan” jika benarlah, ia amat mengejutkan semua pihak. Ramai yang mengeleng-geleng kepala dengan gelagat UMNO itu.

Sepatutnya orang Melayu menumpukan kepada kesepaduan, bukan berebut siapa MN dan PN. Orang bukan Melayu gelak terbahak-bahak melihat kebodohan orang Melayu itu. Kuasa sudah dalam tangan, mahu berpecah pula?

Seperti yang saya katakan di atas, tiada sesiapa pun yang beruntung antara MN dan PN kerana yang akan sokong mereka adalah orang yang sama dan yang tidak sokong mereka pun adalah orang yang sama.

Dalam keadaan sekarang orang Melayu tidak boleh lagi dilihat terlalu taksub kepada seseorang personaliti. Yang penting sekarang ialah untuk bersatu dalam satu gabungan yang kuat dan dihormati rakyat.

Sekiranya personaliti-personaliti itu mempunyai imej yang terlalu besar tanggungannya, maka lepaskanlah. Orang yang merasakan liabilitinya itu boleh merosakkan parti juga harus mengambil keputusan yang tulus dan ikhlas untuk berundur — demi keutuhan parti.

Dalam mana-mana badan korporat pun sekiranya seseorang pemimpin itu mempunyai defisit-imej yang teruk, beliau harus direhatkan.

Hairan juga bagaimana UMNO masih boleh membenarkan orang yang mempunyai kes-kes mahkamah memegang jawatan tertinggi dalam parti? Tiadakah nanti akan wujud konflik kepentingan bagi “menyelamatkan” dirinya daripada kes-kes di mahkamah itu?

Atau kemungkinan berlaku tawar-menawar antara parti bagi menyelamatkan mereka? Bolehkah kebarangkalian ini berlaku? Ataupun sudah berlaku? Atau akan berlaku?

Oleh itu saya selaku pemimpin UMNO yang sudah lama berjuang dalam parti dan bekas ahli Parlimen menyeru supaya adu-domba ini dihentikan.

Ia wajib dilakukan demi kemaslahatan umat Melayu Islam di negara ini. Sudah-sudahlah. Biarlah UMNO melalui proses pembersihannya secara lahiriah. Ini semua sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Orang Melayu amat bersyukur melihat proses tersebut. Biarkan ia berlaku…

— BebasNews

–  Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed ialah bekas Ahli Parlimen Sepang dan mantan Menteri Kerjaraya.

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here