Polis syorkan kawal kemasukan pengunjung Teluk Cempedak

0
347
FOTO: Teluk Chempedak, Kuantan/ Aziz A. Shariff

POLIS akan mencadangan kemasukan pengunjung ke pantai peranginan Teluk Cempedak di Kuantan supaya dihadkan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan aspek penjarakan fizikal dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata cadangan itu difikirkan perlu ekoran tinjauan polis pada petang semalam mendapati jumlah pengunjung di situ terlalu ramai hingga menyebabkan kesesakan di laluan masuk.

“Pengunjung masih berterusan mahu masuk menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka membuat pusingan U.

“Polis telah terangkan situasi yang berlaku dan meminta supaya mereka kembali semula pada hari lain kerana ini melibatkan aspek keselamatan,” katanya kepada media di Kuantan hari ini.

Menurut Mohamad Noor, walaupun polis mendapati pengunjung akur dari aspek penggunaan pelitup separuh muka, namun jumlah mereka yang terlalu ramai menyukarkan penjarakan fizikal diamalkan.

Menurutnya cadangan berkenaan akan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan berharap masyarakat dapat memahami tindakan itu terpaksa diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain Teluk Cempedak, Mohamad Noor berkata polis akan terus membuat tinjauan di lokasi tumpuan awam sekitar Kuantan termasuk di pasar bagi memastikan orang awam menggunakan pelitup separuh muka di situ.

Akan panggil ibu bapa

“Tumpuan juga akan diberikan kepada kemudahan pengangkutan awam kerana ia melibatkan pelbagai peringkat usia.

“Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan secara berkala di terminal bas selain sekatan jalan raya.

“Polis berharap pengendali syarikat pengangkutan awam dapat memberikan kerjasama kepada polis dan mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Noor berkata, mereka mengeluarkan kompaun kepada 17 individu kerana tidak memakai pelitup separuh muka pada operasi pematuhan di sekitar bandar Kuantan, Teluk Cempedak, Terminal Sentral Kuantan dan sebuah pusat beli-belah semalam.

Operasi itu diadakan selama dua jam bermula 4 petang. Selain polis, turut terbabit ialah anggota tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan MPK.

Mohamad Noor juga menasihatkan ibu bapa untuk peka dengan keberadaan anak mereka terutamanya golongan remaja, supaya turut mematuhi peraturan menggunakan pelitup separuh muka kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan denda RM1,000.

“Mereka yang banyak ditegur kerana tidak menggunakan pelitup separuh muka dengan betul adalah golongan remaja.

“Jika ditahan, polis akan memanggil ibu bapa mereka supaya mereka tahu kesalahan yang telah dilakukan anak mereka,” katanya.

– Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here