Keluarlah dari Kinrara Oval daripada dimalukan

0
4455
BAYUEMAS OVAL... MCA dicadang berpindah ke gelanggang ini yang lebih hebat.

SP SETIA BERHAD yang menguasai hartanah di kompleks kriket Kinrara Oval difahamkan tidak akan duduk diam lagi.

Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang sepatutnya menamatkan pajakan 15 tahun berakhir 31 Disember 2018 tanpa dijangka berjaya mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan pusat bagi terus menghuni stadium kriket itu. Tetapi sampai bila?

Difahamkan sehingga sekarang, MCA masih banyak berhutang dengan pemiliknya. Dalam perjanjian dengan pemilik hartanah pada 2003, Island & Peninsular, MCA diberikan pajakan selama 15 tahun sahaja. Apapun peruntukan lima tahun tambahan boleh disambung dengan persetujuan pemilik.

Nampaknya berpandukan kepada rekod, pemilik hartanah enggan menyambung kontrak lebih-lebih kawasan itu bakal dibangunkan untuk tujuan komersial.

Berikutan pertemuan dengan pemerintah lebih kurang dua tahun lalu, MCA tidak patut beranggapan kelulusan khas kerajaan itu sampai bila-bila. Hutang kepada tuan punya hartanah masih tidak berbayar; difahamkan jutaan ringgit setakat tahun 2018. Selepas ‘kelulusan’ itu pula, hampir dua tahun tiada bayaran dibuat kepada SP Setia Berhad.

Dengar cerita, SP Setia Berhad akan bertindak melakukan susulan termasuk mengambil tindakan mahkamah untuk mendapat semula Kinrara Oval. Hartanah itu berbentuk komersial dan merupakan harta persendirian; bukan milik mana-mana institusi kerajaan.

Selaku Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 2003, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah bersetuju untuk melepaskan kawasan di Kinrara untuk dipajak kepada MCA sehingga 15 tahun. Tujuannya menjadikannya sebuah gelanggang kriket bagi kegunaan MCA tetapi perlu menanggung beberapa kos termasuk cukai taksiran, cukai tanah serta sebahagian daripada kos pembinaan.

Dalam mengharungi waktu selama 15 tahun itu, anehnya MCA tidak berusaha mencari tapak lain walaupun faham bahawa kawasan di situ akan dibangunkan oleh pemiliknya kemudian.

MCA kini perlu berjiwa besar untuk tinggalkan Kinrara Oval dan kembalikannya kepada SP Setia Berhad. MCA tidak perlu bercakap besar lagi bahawa di Kinrara Oval telah mencetuskan  pembangunan akar umbi kriket di Malaysia. Ini merupakan kenyataan memalukan kerana hampir semua pembangunan kriket sejak tahun 1998 hinggalah 2017 dilakukan Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Agaknya ramai menteri terperangkap dengan kenyataan tidak betul MCA itu.

Berikutan Kriket Melayu menamatkan semua program pembangunannya pada Ogos 2017, adalah elok MCA berpindah sahaja ke kompleks kriket yang lebih besar di Bayuemas Oval. Gelanggang antarabangsa bertaraf ODI (One-Day-International) itu dibina Golden Hope Plantations Berhad berasaskan CSR yang siap diguna pada tahun 2004.

Apapun Kriket Melayu akan menamatkan pajakan Bayuemas Oval Disember tahun 2020 dan di kompleks ternama itu, turut sama wujud sebuah stadium kriket dalam dewan (indoor). Stadium Dalam Dewan Tun Ahmad Sarji itu merupakan antara gelanggang indoor terbaik dunia.

Sebagai sebuah badan kebangsaan, MCA boleh memohon dengan pemilik sekarang, Sime Darby Property Berhad untuk melakukan pajakan mulai Januari 2021. Semua kemudahan kelas pertama ada di Bayuemas Oval yang turut memiliki dua menara besar khusus untuk media dan kamera di samping kemudahan astaka serta bilik pesalinan yang boleh menonton terus perlawanan.

MCA bolehlah angkat kaki dan berpindah ke Bayuemas Oval yang lebih segak daripada menerima ancaman tindakan mahkamah atau dimalukan oleh pemilik Kinrara Oval.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here