Wira bola Olimpik Munich 1972 meninggal dunia

0
638
V. KRISHNASAMY

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PERANTARA skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972, V. Krishnasamy meninggal dunia semalam, dipercayai akibat penyakit kencing manis yang sekian lama dihidapinya.
Mendiang yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 72 tahun di Pulau Pinang, dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang dan dilaporkan tenat oleh anaknya pada Jumaat lalu.

Kaki kirinya turut telah dipotong dua tahun lalu akibat penyakit itu malah mendiang dilaporkan mengalami masalah penglihatan dan pendengaran.

Beliau menyarung jersi bernombor 10 namun tidak berpeluang beraksi menentang Jerman Barat (kalah 3-0), Amerika Syarikat (menang 3-0) dan Maghribi (kalah 6-0) dalam saingan Kumpulan A Olimpik itu.

Krishnasamy juga merupakan antara tonggak kejayaan skuad negara layak kali pertama ke Olimpik setelah menjuarai Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, Korea Selatan pada 1971 selain merangkul pingat perak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1971.

Laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melaporkan, bekas Sarjan Mejar Penjara ini turut pernah menyarung jersi Perak dan Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia sekitar 60-an hingga 70-an.

Karier bola sepaknya berkisar dari 1967 dengan pasukan Pulau Pinang dalam Piala Burnley sebelum berhijrah ke Perak bagi Piala Malaysia sehingga 1976.

Namun bakatnya dikatakan dikesan seawal 1965 lagi menerusi kelab Persatuan India Pulau Pinang dan Waterfall Ranger.

Dilahirkan di Pulau Pinang pada 13 Januari 1948, beliau turut giat beraksi dengan kelab Penjara Malaysia dalam Kejohanan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) dan Piala FAM selain pernah menjadi pegawai teknikal olahraga Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman sosial rasminya, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Takziah kepada keluarga mendiang V. Krishanasamy. Ingatan dan penghormatan kami buat bekas pemain negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972 ini,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here