Persatuan Karate Malaysia (Makaf) diselubungi masalah yang menyusahkan

0
529
FOTO: The Star.

Oleh DETEKTIF SUKAN

DETEKTIF SUKAN kali ini membawa khabar kurang gembira bagi peminat sukan karate negara.

Karate di kalangan rakyat hanyalah aktiviti seni bela diri masa lapang yang menjadi asas bagi menjaga keselamatan diri; sama seperti Silat, Taekwondo, Muay Thai dan banyak lagi.

Tapi ramai yang tidak tahu bahawa sukan ini adalah sukan individu dan berpasukan yang telah banyak menyumbang pingat buat negara di pelbagai temasya ulung.

Malaysia mempunyai atlet yang mempunyai ranking terbaik di dunia dan Asia malah selalu menjadi penyumbang pingat utama kontinjen negara terutamanya di Sukan Asia dan Sukan SEA.

Karate terbahagi kepada dua acara utama iaitu Kumite dan Kata.

Kumite adalah acara tempur yang memperlihatkan Malaysia beberapa kali menduduki podium di kejohanan bertaraf dunia World Karate Federation (WKF) dan seterusnya memegang title di peringkat Asia dan Asia Tenggara. Mereka cukup konsisten berbanding sukan tempur lain.

Kategori Kata pula lebih berbentuk persembahan seni yang juga turut menampilkan jaguh negara di persada dunia.

Pasukan karate negara yang mempunyai dua kem iaitu Kumite dan Kata bernaung di bawah Persatuan Karate Malaysia (Makaf) dengan dua (2) pusat latihan di Bukit Jalil (Kumite) dan Kata di Pulau Pinang.

Difahamkan kem Kata yang banyak melahirkan jaguh-jaguh ‘multi-nasional’ berdekad lamanya, akan ditutup untuk ‘dilambakkan’ di Bukit Jalil — yang sememangnya sudah ‘tak cukup tanah’ dengan macam-macam program lain di bawah MSN yang juga perlukan tumpuan.

Ditambah pula dengan fasa PKP yang memeritkan semua pihak, para atlet dan jurulatih seakan-akan hilang arah tuju kerana konflik dalaman yang sangat “kebudak-budakan” dialami mereka.

Saya hairan apabila jurulatih muda yang berjaya membawa kejayaan kepada skuad negara mahu diganti dengan ‘bekas-bekas’ jurulatih. Jurulatih muda ‘berpencapaian’ dikatakan mahu disingkirkan kononnya atas sebab-sebab disiplin.

Makaf kini di selubungi masalah yang “menyusahkan”.

Mereka kini mempunyai dua kem iaitu kem A dan B.

Perbalahan mereka sudah masuk mahkamah. Masing-masing mahu merebut hak dan sengketa yang tidak berkesudahan.

Apa salahnya mereka bersatu demi kebaikan dan kelestarian sukan itu? Ini bukan kerana soal jawatan atau siapa betul; siapa salah. Ini adalah demi bendera di dada dan semangat patriotisme.

Mujurlah Majlis Sukan Negara selalu ada menjadi tulang belakang kepada ‘permasalahan tak matang’ Makaf.

Dengan bantuan pengurusan dan khidmat nasihat yang diberikan oleh MSN sedikit sebanyak membantu atlet dan jurulatih masih menuju ke hala tuju yang lurus.

Detektif Sukan yakin MSN yang dipimpin oleh teraju yang berpengalaman mampu membantu menyelesaikan kemelut ini supaya tidak melarat dan menjatuhkan moral atlet dan jurulatih dan seterusnya memberi impak negatif pada pencapaian kelak.

Besar harapan selaku rakyat marhain yang amat meminati sukan negara untuk melihat kejayaan demi kejayaan dilakarkan dengan lebih bermaruah!

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here