Pensyarah maut dijerut tudung: Suami berlakon cari isteri untuk kaburi polis

    0
    2618
    Kereta Perodua Myvi yang ditinggalkan di tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

    SEPANG  — Suspek yang menjerut leher isterinya dengan tudung sehingga mati berlakon seolah-olah tidak mengetahui apa yang terjadi kepada mangsa, yang merupakan seorang pensyarah, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

    Menurut laporan, suspek yang berumur 41 tahun dan juga seorang sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan dikatakan berpura-pura mencari isterinya bersama anak perempuan mereka berusia 14 tahun menggunakan perkhidmatan e-hailing selepas membunuh mangsa di Taman Mas, Putra Perdana, Sepang pada Rabu lepas.

    Mayat pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, ditemui pada Khamis di dalam sebuah kenderaan berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil di sini.

    “Dia berlakon nak elak daripada disyaki,” kata Wan Kamarul Azran hari ini berhubung perkembangan kes itu.

    Wan Kamarul Azran semalam dilaporkan berkata Balai Polis Cyberjaya menerima panggilan telefon daripada suspek pada kira-kira 1 pagi 30 Julai yang memaklumkan isterinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta berhampiran tasik berkenaan selepas mendakwa mangsa tidak pulang ke rumah sejak 4 petang Rabu.

    Helah lelaki itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa apabila siasatan mendapati pasangan tersebut mempunyai masalah rumah tangga dan dia kemudian mengaku menjerut leher isterinya dengan tudung.

    Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 31 Julai sehingga Khamis ini (6 Ogos).

    Wan Kamarul Azran berkata polis telah membuat ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu namun didapati negatif dadah.

    Sementara itu, catatan di laman sosial Facebook mendapati kenalan mangsa terkejut dengan kematiannya.

    “Buat sahabatku Maizatul Othman, sukar buat kami semua menerima khabar pemergianmu yang tidak disangka. Arwah seorang yang baik hati dan sangat merendah diri. Semoga semua urusanmu dipermudahkan di sana. Sahabat, terima kasih untuk segalanya. Sesungguhnya Allah lebih menyayangimu. Al-Fatihah,” kata pemilik akaun ‘Tis Abdullah.’

    Pemilik akaun ‘Huda Harith’ memuat naik ucapan takziah serta mengajak pelajar UIAM yang mengenali mangsa agar bersama-sama sedekahkan al-Fatihah.

    “Dia seorang pensyarah yang sangat baik. Pagi-pagi kalau ada masa selalu pergi bilik puan… kalau dia bawa makanan, dia akan panggil kami bagitahu dia bawa sandwich pagi tu. Kemudian lawatan tak dirancang kami ke Melaka, pakai baju yang sama lagi. Sesungguhnya dia insan yang sangat baik, pemurah dan tak lokek dengan senyuman, mendengar masalah. Tak sah kalau tak cari dia lepas kelas. Tenanglah puan di sana,” tulis Huda Harith dalam catatannya.

    Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad turut memuat naik ucapan takziah di laman Facebook beliau: “Salam takziah kepada seluruh keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. Al-Fatihah.”

    — BERNAMA  

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here