Hutang gaji: Kelantan dipotong 3 mata Liga Perdana

0
346

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KELANTAN bakal menyambung semula Liga Perdana 2020 pada 22 Ogos ini yang tertangguh kerana Covid-19, dengan dipotong tiga mata gara-gara kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membayar baki ansuran tunggakan gaji para pemain dan pegawainya.

‘Si Hulubalang Merah’ bimbingan Yusri Che Lah, dijadualkan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor untuk menghadapi UKM FC – aksi pertama sejak liga dihentikan sementara pada 16 Mac lalu.

Malah jika terus gagal berbuat demikian sehingga 31 Ogos ini, Kelantan mungkin tidak diberikan lesen bertanding dalam Liga Malaysia 2021.

KAFA didapati gagal melunaskannya mengikut jadual yang ditetapkan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala pemotongan mata itu diputuskan mesyuarat Badan Penilaian Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif hari ini.

Laman sesawang FAM melaporkan: “KAFA telah diberikan tempoh lanjutan sehingga 30 Julai lalu setelah mengambil kira situasi semasa Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi masih tiada sebarang pembayaran tunggakan yang dibuatnya.”

KAFA lapor laman itu, telah menghantar surat kepada FAM bertarikh 30 Julai lalu dengan memohon kelonggaran dan lanjutan masa sehingga tamat musim 2020.

Walau bagaimanapun Badan Penilaian Pelesenan Kelab FAM memutuskan untuk untuk kekal dengan tarikh akhir 30 Julai itu seperti yang ditetapkan dalam surat dan e-mel peringatan pada 8 dan 27 Julai lalu.

KELANTAN (jersi biru) menyambung semula Liga Perdana di Selayang, 22 Ogos ini dengan kehilangan tiga mata. – Foto MFL

Mesyuarat badan berkenaan yang berlangsung secara sidang video itu turut membincangkan tiga lagi kes tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak.

“PDRM yang sebelum ini dipotong tiga mata pada tarikh akhir pertama, 31 Januari lalu, mula menunjukkan pergerakan positif dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawainya dan hanya mempunyai satu kes rayuan ketika ini.

“FAM mendapati pelan pembayaran tunggakan gaji 2019 pemain dan pegawai Melaka United pula yang sebelum ini dipotong tiga mata selepas tarikh akhir kedua, hujung Februari lalu, masih berjalan dengan lancar seperti dipersetujui bersama semua pihak.

“Sarawak pula masih hanya mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” lapor laman itu.

Namun mengikut Peraturan Pelesenan Kelab FAM, tunggakan hutang-hutang LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mesti dilunaskan dengan pembayaran atau pelan penyelesaian menjelang 31 Ogos ini.

“Jika pembayarannya belum diselesaikan, pasukan-pasukan terlibat akan dirujuk semula kepada Badan Penilaian Pelesenan Kelab FAM bagi kelayakan bertanding dalam musim 2021,” lapor laman itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here