Piala Thomas 2020: Malaysia, musuh tradisi sekumpulan

0
703
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann (dua dari kiri) menghadiri majlis undian Piala Thomas-Uber 2020 di Kuala Lumpur dengan memakai pelitup muka. - Foto BWF
Oleh Abdul Hafiz Ahmad

MALAYSIA berdepan laluan getir apabila diundi dengan musuh tradisi yang juga pilihan utama, Indonesia dalam Kumpulan A Badminton Piala Thomas 2020 dari 3 hingga 11 Oktober di Arena Ceres, Aarhus, Denmark.

Skuad negara diletakkan sebagai pilihan kelima/kelapan manakala dua lagi anggota kumpulan ini ialah England dan Belanda (pilihan kesembilan/ke-16), lapor laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Majlis undian Piala Thomas-Uber 2020 berlangsung di ibu pejabat BWF di Kuala Lumpur hari ini.

Indonesia juga merupakan juara 13 kali dengan yang terakhir menjulang trofi kejohanan berpasukan lelaki terulung dunia itu pada 2002 di Guangzhou, China.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara ialah pada 1992 di Kuala Lumpur selain 1949, 1952, 1955 dan 1967.

Juara bertahan, China yang menewaskan Jepun 3-1 dalam final 2018 di Bangkok, diundi dalam Kumpulan B dengan Taiwan, Australia dan Perancis.

Jepun juga juara 2014 pula membentuk Kumpulan D dengan Korea Selatan, Thailand dan Kanada.

Kumpulan C menempatkan Denmark yang terkandas pada separuh akhir 2018 di samping India, Jerman dan Algeria.

“Sasaran kami bagi Piala Thomas ialah mara ke separuh akhir manakala bagi Piala Uber, menjadi lapan terbaik,” -Wong Choong Hann, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia

Undian Piala Uber 2020 (kejohanan wanita) menyaksikan Malaysia menganggotai Kumpulan B dengan Korea Selatan, Indonesia dan Australia.
Juara bertahan, Jepun yang menewaskan Thailand 3-0 dua tahun lalu, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Taiwan, Mesir dan Sepanyol.

Ketua Pegawai Operasi BWF, Stuart Borrie berkata: “Kami mengakui banyak gangguan tahun ini pada kalendar (pertandingan).

“(Walau bagaimanapun) kami mahu memastikan untuk memantau perkembangan semasa berkaitan Covid-19 dan merancang mengembalikan badminton antarabangsa dengan selamat.

“Kami mempercayai setiap orang dalam masyarakat badminton akan terus selamat dan sihat serta bersedia untuk kembali ke pertandingan antarabangsa,” kata Borrie.

Sementara itu, Wong Choong Hann, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam laman sosial BAM berkata: “Kami melihat keputusan undiannya dengan positif. Kami hanya perlu mengambil cara fikir yang tepat dan berani berdepan sebarang lawan.

“Pastinya, undian memainkan satu peranan kecil tetapi itu bukan segalanya. Amat penting untuk kami mempunyai cara fikir yang betul. Kami perlu meningkatkan tahap permainan kami dan menyediakan diri kami daripada terlalu bimbang akan lawan-lawan kami.

“Sasaran kami bagi Piala Thomas ialah mara ke separuh akhir manakala bagi Piala Uber, menjadi lapan terbaik.

“Walaupun getir kerana ranking kami, ini akan menjadi medan terbaik untuk pemain-pemain kita membuktikan bahawa kami sebuah unit yang meningkat yang sedia menyaingi mana-mana pasukan di dunia dan bahawa kami mahu menjadi antara yang terbaik”, tambah beliau.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here